KUALA LUMPUR, 30 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kesiapsiagaan aset pertahanan negara agak ketinggalan berbanding dengan negara jiran yang lain.
Beliau menyatakan perkara tersebut menerusi satu hantaran di media sosialnya selepas menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman di pejabatnya, pada Isnin.
“Pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23), saya singgung kebimbangan akan kesiapsiagaan aset pertahanan negara yang disifatkan agak ketinggalan ketimbang perkembangan aset pertahanan negara jiran lain,
“Moga ketumbukan badan pertahanan negara terus utuh dalam memastikan keselamatan rakyat berada di tahap yang terbaik,” jelasnya.
LIMA ‘23 yang merupakan edisi ke-16 bertemakan ‘Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia’ bermula Selasa lepas telah berakhir dengan rasminya pada Sabtu.
LIMA edisi seterusnya dijangka berlangsung pada Mei 2025. Penganjuran tahun ini melibatkan 2 kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (sektor pertahanan) dan Kementerian Pengangkutan (sektor komersial).
Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menyalurkan peruntukan bagi kos membaik pulih kediaman dan kuarters khususnya yang daif.
“Hatta, saya ingatkan untuk sentiasa menjaga kebajikan anggota terutama memastikan akses terhadap pendidikan yang berkualiti dalam kalangan anak-anak anggota ATM,” katanya lagi. -airtimes.my