KUALA LUMPUR, 12 MAC– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi penjelasan mengenai perbezaan kadar kompaun yang dikenakan terhadap kes-kes yang dilihat serupa oleh masyarakat.
Tegasnya, perubahan dalam akta dan undang-undang yang telah diluluskan sebelum ini boleh menyebabkan variasi dalam kadar hukuman. Justeru, katanya, rakyat perlu memahami konteks sebenar sebelum membuat sebarang tanggapan.
Perkara berkenaan telah disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Rabu.
“PM telah meminta MCMC untuk menjelaskan perkara ini sekali lagi. Sebarang tanggapan atau perkongsian maklumat tidak tepat akal ini akan hanya mencetuskan persepsi tidak sihat tatkala kita semua dituntut untuk terus menyemai benih keharmonian dan kesejahteraan masyarakat,” kata Tunku Nashrul.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menasihati penyampai radio Era FM agar sentiasa membawa mesej perpaduan dalam tugasan harian mereka ketika ditemui semasa Majlis Iftar Bersama Pengamal Media, semalam.
Ujarnya, Anwar menekankan peranan besar pengamal media dan individu berpengaruh dalam memastikan masyarakat tidak terpengaruh dengan sentimen yang boleh merenggangkan hubungan antara kaum.
“Mesej PM bukan saja menjurus kepada mereka namun kepada semua pihak agar bersama-sama menjadi ejen perpaduan. PM juga berharap, setiap rakyat Malaysia pelbagai kaum dapat menoktahkan perkara ini dan bergerak ke hadapan, ” katanya lagi.
Dalam pada itu, keputusan lanjut mengenai isu perbezaan kompaun ini dijangka dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi selepas Mesyuarat Jemaah Menteri petang ini.
Terdahulu, AirTimes melaporkan, Trio DJ Era FM iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy didakwa mempersenda upacara agama dalam sebuah video yang dimuat naik di akaun TikTok rasmi Era FM.
Ekoran insiden tersebut, SKMM telah mengenakan kompaun sebanyak RM250 ribu terhadap pengendali Era FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd, atas kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Bagaimanapun, lesen penyiaran stesen radio tersebut tidak digantung setelah mengambil kira tindakan susulan yang telah diambil oleh syarikat, termasuk permohonan maaf dan penggantungan tugas sementara terhadap penyampai terlibat.-airtimes.my
#MCMC #AnwarIbrahim #Malaysia #ERA #Kompaun #perpaduan #Airtimes #agama