KUALA LUMPUR, 24 MAC – Peguam Dr. Shamsher Singh Thind menegaskan, kebebasan beragama di Malaysia tidak boleh dijadikan alasan untuk menceroboh tanah milik individu atau entiti lain.
Menurut beliau, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama tidak mengatasi Perkara 13 yang memperuntukkan hak terhadap pemilikan harta.
“Mana-mana struktur atau bangunan yang dibina tanpa kebenaran tuan tanah, atau tanpa kebenaran tuan tanah terkini walaupun jika tuan tanah terdahulu membenarkan, dianggap tidak sah menurut undang-undang,” katanya.
Tegasnya, isu utama bukanlah mengenai kuil yang dibina secara haram oleh penceroboh, sebaliknya banyak kuil lama yang wujud di atas tanah estet atau persendirian dengan hanya kebenaran lisan daripada tuan tanah terdahulu.
Maka, apabila pemilik tanah bertukar dan ingin membangunkan kawasan berkenaan, barulah timbul isu mengenai keabsahan kuil tersebut.
“Dalam kata lain, sebuah kuil yang dibina secara sah dengan kebenaran tuan tanah, tiba-tiba menjadi tak sah apabila kebenaran itu ditarik balik oleh tuan tanah tersebut, atau kebenaran tidak diberikan oleh tuan tanah baharu,
“Dari segi undang-undang, betul, kuil tidak boleh dibina atau terus wujud kalau tuan tanah sekarang tidak memberi izin, walaupun jika benar tuan tanah terdahulu ada bagi kebenaran,” jelasnya.
Justeru, ujarnya, ahli jawatankuasa (AJK) kuil hanya mempunyai dua pilihan untuk kekal di lokasi asal, iaitu membeli tanah tersebut atau memohon kerajaan untuk mengambil tanah itu di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.
Namun, sekiranya kedua-dua pilihan itu tidak dapat dilakukan, maka kuil tersebut perlu dipindahkan ke lokasi lain atau digabungkan dengan kuil berdekatan.
Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan agar wakil rakyat Hindu di Malaysia menjalankan kajian menyeluruh mengenai status semua kuil Hindu di negara ini.
Kajian tersebut perlu memastikan setiap kuil dibina di atas tanah milik sendiri, tanah yang dipajak atau disewa secara sah, atau mempunyai kebenaran bertulis daripada tuan tanah.
“Jika kuil-kuil tersebut tidak memiliki dokumen sah, maka ia perlu dipindahkan. Kebebasan beragama tidak mengizinkan sesiapa menceroboh tanah orang lain,” tegasnya. – airtimes.my
#ShamsherSingh #peguam #kuil #kebebasan #agama #AirTimes #Malaysia