Home Semasa SPRM nafi ‘tanam’ RM170 juta di rumah pegawai Ismail Sabri

SPRM nafi ‘tanam’ RM170 juta di rumah pegawai Ismail Sabri

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 12 MAC – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menolak dakwaan suruhanjaya itu telah ‘menanam’ wang tunai berjumlah RM170 juta di rumah empat pegawai kanan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Tiada siasatan terpilih di sini. Kami menjalankan siasatan secara profesional,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab spekulasi berhubung siasatan yang sedang dijalankan terhadap Ismail Sabri.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri dijangka memberi keterangan berhubung siasatan melibatkan perbelanjaan promosi dan publisiti sepanjang pentadbirannya dari 2021 hingga 2022 kepada SPRM pada Khamis, jam 10 pagi.

Azam Baki berkata, cuti sakit Ahli Parlimen Bera itu akan tamat hari ini (12 Mac) dan sehingga kini, beliau masih belum menerima sebarang lanjutan cuti perubatan.

Beliau turut menegaskan, sekiranya Ismail Sabri gagal hadir seperti yang dijadualkan, pihaknya menggesa alasan munasabah dikemukakan.

“Setahu saya, penyakit beliau tidak begitu serius. Jika beliau tidak hadir ke pejabat pada Khamis, kita perlu tahu apa lagi alasan yang disediakan,” katanya lapor NST.

Terdahulu, pada 1 Mac, Ahli Parlimen Bera itu disoal siasat selama lima jam berhubung ratusan juta ringgit yang dibelanjakan untuk perbelanjaan promosi dan publisiti sepanjang pentadbirannya dari 2021 hingga 2022.

SPRM kemudiannya menetapkan sesi soal siasat kedua terhadap Ismail Sabri pada 5 Mac (Rabu), namun sesi tersebut ditangguhkan ke 7 Mac (Jumaat) atas faktor kesihatan berkaitan tekanan darah tinggi.

Walau bagaimanapun, sesi kedua sekali lagi terpaksa dibatalkan selepas beliau menyerahkan surat cuti sakit (MC) yang menyatakan beliau perlu berehat sehingga 12 Mac.

Dalam tempoh itu, SPRM telah melakukan serbuan serentak ke atas beberapa premis yang dikaitkan dengan pegawai kanan Ismail Sabri. Hasil serbuan membawa kepada penemuan RM170 juta dalam pelbagai mata wang, jongkong emas, serta barang berharga yang disimpan di dalam peti besi di sebuah kediaman yang dipercayai berfungsi sebagai “safe house”.

Justeru itu, pada 3 Mac, Azam Baki mengesahkan, Ismail Sabri bukan lagi sekadar saksi dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram, sebaliknya telah diklasifikasikan sebagai suspek.

Siasatan ini tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti ketika beliau menerajui Malaysia sebagai Perdana Menteri ke-9, dengan nilai projek dianggarkan sekitar ratusan juta. ​

Sehingga kini, SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta.

Siasatan ini dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – airtimes.my

#IsmailSabri #Wangharam #Rasuah #SPRM #Airtimes #Malaysia #RM170juta

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?