KUALA LUMPUR, 21 JAN – Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini menegaskan komitmen jitu dalam memperkukuh tadbir urus dan menutup rapat sebarang ruang amalan tidak berintegriti melalui kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Langkah proaktif ini dizahirkan melalui kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan.
Kerjasama Penuh Siasatan Rasuah
Dalam pertemuan tersebut, Menteri Pertahanan menegaskan bahawa pihak kementerian akan memberikan sokongan tanpa kompromi terhadap sebarang usaha pembersihan daripada unsur salah guna kuasa.
“Kementerian Pertahanan menegaskan komitmen untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam semua siasatan berkaitan kes rasuah yang sedang dijalankan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa pihak kementerian akan memberikan sokongan tanpa kompromi terhadap sebarang usaha pembersihan daripada unsur salah guna kuasa./Gambar: Pejabat Kementerian Pertahanan
Penambahbaikan Tatacara Perolehan
Selain fokus kepada siasatan, kedua-dua pihak turut berbincang mengenai langkah-langkah pencegahan, khususnya dalam aspek tatacara perolehan. Pertemuan tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha penambahbaikan sistem sedia ada bagi mengelakkan ketirisan pada masa hadapan.
Kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai tatacara perolehan agar pelaksanaannya menjadi lebih berkesan serta bebas daripada risiko salah guna kuasa. SPRM telah menzahirkan persetujuan untuk menawarkan khidmat nasihat pakar bagi membantu memurnikan lagi tadbir urus perolehan di peringkat kementerian mahupun ATM.

Selain fokus kepada siasatan, kedua-dua pihak turut berbincang mengenai langkah-langkah pencegahan, khususnya dalam aspek tatacara perolehan./Gambar: Pejabat Kementerian Pertahanan
Langkah proaktif ini disifatkan sebagai satu titik penting dalam usaha membanteras segala bentuk kecurangan kuasa secara menyeluruh.
Melalui persefahaman yang dicapai, MINDEF bertekad untuk memastikan setiap amanah yang diberikan dilaksanakan dengan penuh integriti demi kedaulatan negara. Usaha berterusan ini diharapkan dapat mengembalikan keyakinan penuh rakyat terhadap integriti warga pertahanan dalam menggalas tanggungjawab mereka. – airtimes.my

