Home Semasa Ismail Sabri serah MC, rakaman keterangan ditangguh lagi

Ismail Sabri serah MC, rakaman keterangan ditangguh lagi

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 7 MAC – Sesi rakaman keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dijadual hari ini, sekali lagi ditangguhkan dengan tarikh baharu ditetapkan pada 13 Mac.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan rakaman keterangan sudah ditangguhkan sebanyak 2 kali.

Mengulas lanjut, SPRM pada asalnya menjadualkan sesi soal siasat kedua terhadap Ahli Parlimen Bera itu pada 5 Mac (Rabu), namun ia terpaksa ditangguhkan ke 7 Mac (Jumaat) atas faktor kesihatan.

Bagaimanapun, sesi tersebut kini dibatalkan sekali lagi selepas Ismail Sabri menyerahkan surat cuti sakit (MC) daripada doktor yang menyatakan beliau perlu berehat sehingga 12 Mac.

Justeru itu, SPRM dilaporkan akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada doktor yang merawat Ismail Sabri bagi memastikan kesediaannya untuk memberikan keterangan pada tarikh baharu tersebut.

Terdahulu, pada 19 Februari, Ismail Sabri dilapor sudah memberi keterangan kali pertama kepada pegawai penyiasat selepas beliau membuat pengisytiharan harta beberapa hari sebelum.

SPRM telah menyoal siasat Ismail Sabri sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap perbelanjaan untuk kempen promosi Keluarga Malaysia semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri ke-9.

Namun, tidak lama selepas sesi soal siasat pertama, Ismail Sabri dilaporkan mengalami masalah kesihatan sehingga rebah di rumahnya. Beliau kemuadian dikejarkan ke hospital untuk menjalani rawatan.

Dalam masa yang sama, empat individu termasuk dua bekas pegawai kanannya ditahan SPRM untuk siasatan lanjut.

Ia kemudiannya membawa kepada serbuan di tiga premis dengan penemuan wang tunai pelbagai matawang berjumlah RM170 juta dan 16 jongkong emas tulen bernilai RM7 juta di sebuah kondominum yang didakwa sebagai ‘safehouse’.

Antara wang tunai yang dirampas, meliputi nilai dalam mata wang Pound Sterling (GBP), Won, Baht, Riyal, Euro, Yuan dan Swiss Franc.

Antara wang tunai dan jongkong emas yang dirampas (Foto: Bernama)

AirTimes pada Isnin (3 Mac) melaporkan , Tan Sri Azam Baki mengesahkan, Ismail Sabri bukan lagi saksi dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram, sebaliknya adalah seorang suspek dalam kes berkenaan.

Siasatan tersebut dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. -airtimes.my

#IsmailSabri #Wangharam #Rasuah #SPRM #Airtimes #Malaysia #RM170juta

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?