KUALA LUMPUR, 7 Mac – Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) meneruskan kesinambungan latihan kesiagaan dengan melaksanakan Latihan Perang Pangkor Siri 1/25 di perairan Selat Melaka, salah satu laluan perkapalan utama dunia.
Menurut MPA Barat, latihan ini bertujuan menguji serta menilai tahap kesiagaan dan keupayaan armada serta anggotanya dalam melaksanakan tugas teras di lapangan.
Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Muhamad Azuwan Harun, turut hadir menyaksikan demonstrasi kesiagaan maritim yang menjadi pembuka tirai latihan tahun ini.
Inisiatif ini sejajar dengan Teras Utama yang digariskan oleh Panglima Tentera Laut iaitu memastikan kesiagaan armada sebagai fokus utama.
Jelas MPA Barat, latihan ini melibatkan penyertaan beberapa aset penting Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk KD LEKIU, KD LEKIR, KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN serta Fast Combat Boat TLDM.
Sebuah helikopter Fennec turut digunakan dalam latihan simulasi ancaman udara bagi menguji tahap respons dan kesediaan anggota TLDM.
“Pelbagai siri latihan telah dilaksanakan sepanjang tempoh latihan, merangkumi aspek Navigasi, Komunikasi, Ilmu Kelautan dan Peperangan,
“Sebagai nilai tambahan, latihan seperti Mengawal Kebanjiran dan Melawan Api (MKMA) juga dijalankan bagi memastikan ketersediaan warga kapal dalam menghadapi sebarang kemungkinan luar jangka,” jelas MPA barat lagi.
Bagi menghayati aspek kerohanian, Panglima Armada Barat turut menyantuni anggota yang bertugas dengan berbuka puasa dan menunaikan solat secara berjemaah sempena bulan Ramadan yang mulia ini.
Menurut MPA Barat, Latihan Perang Pangkor merupakan antara usaha terbaik dalam memastikan kesiagaan armada berada pada tahap tertinggi.
Pendekatan ini dilihat berkesan dalam mengekalkan profesionalisme anggota TLDM dalam mendepani sebarang situasi konflik atau peperangan sebenar.
Latihan kesiagaan yang dilaksanakan secara berkala ini juga menunjukkan komitmen TLDM dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terjamin.— airtimes.my
#TLDM #perangpangkor #navypeople #kesiagaan #pertahanan #airtimes