KUALA LUMPUR, 3 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan suspek yang disiasat dan bukannya saksi dalam kes rasuah serta pengubahan wang haram yang sedang dijalankan ketika ini.
Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa, pihaknya akan memanggil semula Pedana Menteri kesembilan itu untuk dirakam percakapan semula pada Rabu ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, proses rakaman percakapan yang akan dijalankan adalah bergantung kepada tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.
“Ekoran daripada itu SPRM akan mengambil rakaman percakapan semula atau pun tambahan daripada Datuk Seri Ismail Sabri bergantung kepada tahap kesihatan beliau,
“Dan dijangka rakaman percakapan ini akan dibuat pada hari Rabu minggu ini iaitu selang satu hari daripada sekarang,
“Rakaman percakapan akan berkisar daripada pengisytiharan harta beliau dan juga berhubung kes yang sedang disiasat sekarang ini,” katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Semalam, SPRM mengesahkan Ismail Sabri kini disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa ahli Parlimen Bera itu ketika menerajui kerajaan.
Beliau berkata, penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta dalam ‘safehouse’ berkenaan juga mengesahkan Ahli Parlimen Bera itu sebagai seorang suspek.
“Dalam hal ini yang tu saya boleh katakan beliau adalah suspek kes ini, kerana beliau sudah diminta memperincikan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM (pengisytiharan harta),
“(Yang) kedua apabila penemuan wang ini dan beliau antara yang dikaitkan, maka kita perlu mendapatkan penjelasan daripadanya mengenai penemuan wang itu,” ujarnya lagi. -airtimes.my
#airtimes #SPRM #IsmailSabri #rasuah #RM170juta #Malaysia