JERANTUT, 12 Mac – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menempelak pihak yang sengaja menimbulkan perbalahan berkaitan isu raja, agama dan kaum (3R) sehingga membawa kepada perpecahan masyarakat.
“Berhentilah daripada menjadi ‘badut’ yang mempolemikkan isu 3R sehingga mencetuskan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat,
“Biarkanlah ‘pentas’ ini terus tenang, tanpa ‘drama’ yang menyakitkan. Berdialoglah guna akal dan hati, bukannya ‘bermonolog’ dengan nista dan benci,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat memasyhurkan nama Masjid Baharu Kampung Durian Hijau sebagai Masjid Abdulrahman Ibn Auf, Kampung Durian Hijau, pada Selasa.
Keberangkatan Baginda diiringi oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut sama mengiringi ialah Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Pemimpin Perlu Jadi Jambatan Perpaduan
Menurut laporan Pahang Media, Al-Sultan Abdullah turut menyeru semua pemimpin, khususnya pemimpin politik, agar berperanan sebagai jambatan perpaduan yang menyatukan rakyat, bukan mencetuskan api perpecahan.
“Saya menyambut baik kenyataan YAB Menteri Besar Pahang baru-baru ini yang menekankan bahawa pemimpin bertanggungjawab menjadi pendamai, bukan pencetus perbalahan,
“Sejarah telah membuktikan bahawa pertelingkahan kaum dan agama, jika tidak dibendung dengan bijaksana, mampu membawa malapetaka. Kita tidak mahu sejarah hitam itu berulang hanya kerana kealpaan dalam mengurus isu sensitif ini dengan hikmah dan bijaksana,” titah Baginda.
Baginda turut mengingatkan rakyat, tidak kira beragama Islam atau bukan Islam, agar tidak mudah melatah dan membuat spekulasi yang boleh merosakkan keharmonian yang telah lama terbina menerusi sikap saling menghormati dan bertoleransi.
“Hormatilah antara satu sama lain, jagalah sensitiviti antara agama dan kepercayaan. Jangan sesekali kita biarkan kejahilan dan keangkuhan merosakkan apa yang telah lama kita bina bersama,” titah Baginda lagi.
Jangan diam ketika Islam dihina
Baginda juga menzahirkan dukacita atas suara-suara sumbang yang meremehkan kesucian agama dan mencabar kemuliaan Islam seolah-olah tiada batasan dalam berbicara dan bertindak.
“Islam tidak pernah mengajar kita tunduk kepada penghinaan dan penindasan. Sebagai ketua dan pelindung agama Islam di negeri ini saya menyeru agar setiap muslim memainkan peranan, mempertahankan kesucian agama ini dengan hikmah dan kebijaksanaan,
“Umat Islam jangan sesekali berdiam diri apabila agama dihina walaupun sebagai seorang muslim diajar mengikut resmi padi semakin berisi semakin menunduk,
“Dalam kebijaksanaan dan keadilan pemerintahan, agama-agama lain diberi ruang untuk diamalkan dengan aman dan damai. Selagi mana ia tidak menggugat ketenteraman awam dan keharmonian negeri, selagi itulah hak setiap penganut terpelihara,” titah Baginda lagi. -airtimes.my
#semasa #DaulatTuanku #Pahang #Malaysia #airtimes