LUMUT, 11 Mac – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima sebuah bot pemintas berteknologi tinggi, Ibrahim Class IC 1170cc, yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Kurniaan ini bukan sahaja memperkukuhkan keupayaan operasi TLDM, malah mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap keselamatan perairan negara.
Menurut TLDM, bot pemintas ini direka khas untuk beroperasi dalam perairan tropika dan dibangunkan oleh Royal Boat Hangar Johor.
Ia diperbuat daripada aluminium marin berkualiti tinggi, bot ini memiliki ketahanan serta kestabilan yang optimum dalam operasi di laut.
“Dengan panjang keseluruhan 12.60 meter dan lebar maksimum 3.50 meter, Ibrahim Class IC 1170cc dikuasakan oleh tiga enjin Mercury OBM berkapasiti 400 kuasa kuda setiap satu, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 65 knot dan kelajuan pelayaran optimum 45 knot,
“Selain itu, bot ini dilengkapi sistem navigasi komprehensif, komunikasi moden, serta sistem radio canggih bagi memastikan pengendalian yang lebih efektif dalam operasi TLDM,” jelas TLDM dalam satu kenyataan.
Majlis penyerahan bot berlangsung di perkarangan Markas Pemerintahan Armada (MPA) Barat dan disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Azuwan Harun.
Acara tersebut turut menyaksikan penandatanganan sijil penyerahan antara TLDM dan Royal Boat Hangar Johor, yang diwakili oleh Mohamad Yuni Ismail.
Jelas TLDM, bot kurniaan Seri Paduka Baginda ini akan ditempatkan di bawah naungan MPA Barat dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan keupayaan rondaan persisiran.
Selain TLDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut menerima bot yang sama, menjadikan ia satu langkah penting dalam memperkukuh pertahanan maritim negara.
“Kurniaan ini pastinya akan meningkatkan lagi keupayaan pertahanan maritim negara dan TLDM akan terus komited dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan Malaysia, demi kepentingan rakyat dan negara,” jelas TLDM lagi. -airtimes.my
#TLDM #pertahanan #MPABarat #botpemintas #DaulatTuanku #airtimes