Home Pertahanan dan Keselamatan Agong kurnia bot pemintas, tingkat keupayaan APMM

Agong kurnia bot pemintas, tingkat keupayaan APMM

by Nurulhuda

KUANTAN, 6 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pahang menerima aset baharu berupa bot pemintas berteknologi tinggi yang bakal memperkukuhkan operasi kawalan maritim negara.

Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan bot tersebut menerusi Royal Boat Hangar Johor dalam satu majlis di Pos Maritim Teluk Gading, semalam.

Beliau berkata, kurniaan bot ini mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap keselamatan perairan negara serta kesiapsiagaan APMM dalam menangani ancaman jenayah maritim.

“Bot ini adalah pinjaman tanpa kos bagi tempoh lima tahun bermula 1 Mac 2025 dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempertingkat rondaan serta operasi penguatkuasaan,” katanya menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Maritim Negeri Pahang.

Spesifikasi canggih dan keupayaan tinggi

Saiful Lizan memaklumkan, bot IC 1170CC tersebut mempunyai spesifikasi canggih dengan panjang 12.6 meter dan lebar 3.5 meter, selain dilengkapi enjin berkuasa tinggi yang mampu mencapai kelajuan maksimum 56 knot.

Manakala, kelajuan pelayaran optimum bot ini pula adalah 40 knot.

“Reka bentuk dalaman bot turut diubah suai bagi memastikan keselesaan serta kelancaran pergerakan kru semasa operasi,

“Ia juga dilengkapi Aluminium Trailer, membolehkannya dipindahkan dengan mudah mengikut keperluan operasi serta memudahkan proses up-slip dan down-slip dalam tempoh segera,” ujarnya lagi.

Menurutnya, bot ini akan digunakan dalam pelbagai operasi termasuk rondaan maritim, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), serta penguatkuasaan undang-undang di laut.

“Ia dibina berasaskan kejuruteraan moden, bot ini direka sebagai aset pemintas berkelajuan tinggi yang berupaya beroperasi secara optimum, menjadikannya aset strategik dalam usaha memperkukuhkan keselamatan perairan negara,

“Keupayaan bot ini akan memperkasakan lagi peranan APMM dalam menghalang pencerobohan, penyeludupan serta aktiviti jenayah rentas sempadan, khususnya di perairan Pahang,” jelas beliau lagi.

Bot IC 1170CC tersebut mempunyai spesifikasi canggih dengan panjang 12.6 meter dan lebar 3.5 meter, selain dilengkapi enjin berkuasa tinggi yang mampu mencapai kelajuan maksimum 56 knot. Foto: APMM

Simbol komitmen Agong terhadap keselamatan perairan

Penyerahan bot ini turut menjadi simbol komitmen Yang di-Pertuan Agong dalam menyokong usaha Maritim Malaysia bagi memastikan keselamatan perairan negara berada pada tahap tertinggi.

Tedahulu, majlis penyerahan dimulakan dengan sesi menandatangani buku lawatan, diikuti upacara menandatangani sijil penyerahan antara Royal Boat Hangar Johor dan APMM.

Sesi lawatan ke bot baharu tersebut turut diadakan di jeti Teluk Gading.

Turut hadir, Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab, Timbalan Pengarah Operasi, Kepten Maritim Mohd Marmizi Md Nor, serta wakil Royal Boat Hangar Johor, Encik Mohamad Yuni Ismail.

Kurniaan ini bukan sahaja satu penghormatan buat Maritim Malaysia Negeri Pahang, malah menjadi amanah besar dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.-airtimes.my

#APMM #bot #DaulatTuanku #keselamatan #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?