KUALA LUMPUR, 5 Mac – Tindakan segelintir pihak yang menyebarkan kenyataan berbaur provokasi, penghinaan serta mempersendakan agama dan sensitiviti kaum di media sosial merupakan ancaman serius terhadap keamanan serta keharmonian negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan, perbuatan seperti itu melanggar prinsip 3R (Race, Religion & Royalty) dan tidak boleh diterima sama sekali kerana boleh mencetuskan ketegangan serta perpecahan dalam masyarakat.
“Saya ingin menegaskan dengan tegas bahawa tindakan segelintir warga net, khususnya individu bernama Vijayan Savarinathan, Zamri Vinoth, Saravanan Sannugom dan Crime_Man (nama di aplikasi TikTok) serta lain-lain,
“Yang menyebarkan kenyataan berbentuk provokasi, penghinaan dan mempersendakan agama serta sensitiviti berkaitan isu 3R di platform media sosial adalah suatu perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, setiap individu bertanggungjawab dalam memastikan ruang maya digunakan dengan bijak dan tidak menimbulkan perpecahan atau ketegangan dalam masyarakat.
“Tindakan tidak bertanggungjawab yang menjurus kepada perbuatan menghina agama dan sensitiviti kaum adalah suatu ancaman kepada keamanan dan keharmonian negara,” tambahnya lagi.
Menurut Aaron, Kementerian Perpaduan Negara akan terus melaksanakan Kempen Cakap Baik-Baik serta menerapkan prinsip integrasi nasional Faham, Hormat dan Terima melalui pelbagai program bagi mendidik rakyat Malaysia menghormati agama dan budaya penganut lain.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut memberi amaran keras kepada semua pihak agar tidak mengulangi perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini dan meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk segera mengambil tindakan sewajarnya.
Tindakan tegas akan diambil berdasarkan peruntukan Seksyen 298, Seksyen 504 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memastikan keselamatan serta keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara.
“Bersama-sama, marilah kita berganding bahu untuk mengekalkan perpaduan negara yang berlandaskan prinsip-prinsip Rukun Negara, terutama sekali Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya lagi.-airtimes.my
#semasa #Malaysia #airtimes #hinaAgama #PDRM #SKMM