Home SemasaTrump umum tarif ke atas Malaysia esok – Anwar Ibrahim

Trump umum tarif ke atas Malaysia esok – Anwar Ibrahim

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 31 JULAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan mengumumkan kadar tarif baharu terhadap barangan dari Malaysia esok.

Menurut Anwar, keputusan itu dimaklumkan sendiri oleh Trump dalam perbualan telefon pada jam 6.30 pagi tadi. Perbualan tersebut turut menyentuh isu tarif dan hubungan perdagangan dua hala.

“Kami turut membincangkan mengenai tarif atas semangat dan prinsip perdagangan bebas. Juga mengenai pelbagai siri rundingan yang digerakkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama dengan pihak Perwakilan Perdagangan AS (USTR) dan juga Setiausaha Perdagangan AS,

“Setelah perbincangan itu berlaku dan beberapa penjelasan yang saya sampaikan, beliau (Trump) memutuskan untuk menangguh pengumuman kepada keesokannya.  Dan kadar tarif akan diumumkan esok,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Anwar, beliau berharap langkah itu tidak akan membebankan negara dan turut mendoakan agar kesannya dapat diminimumkan.

Rumah Putih dijangka membuat pengumuman rasmi mengenai kadar baharu itu pada hari Khamis. Tarif tersebut dijangka memberi kesan langsung kepada sektor eksport negara, terutamanya industri berasaskan pembuatan dan teknologi.

“Kita tunggu sampai esok. Yang penting ialah kewaspadaan kita kerana kemungkinan harga barangan dan kos mungkin meningkat sekiranya tarif itu tidak seperti mana yang kita jangka,” tambahnya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan komitmen kerajaan untuk meneruskan rundingan dengan Washington, dengan berpegang kepada prinsip perdagangan bebas dan adil demi kepentingan bersama.

Malaysia dan AS sebelum ini sedang dalam rundingan untuk menurunkan tarif timbal balas sedia ada sebanyak 25 peratus, susulan ketegangan perdagangan yang tercetus dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Trump turut mengesahkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini.  Pengesahan tersebut dibuat susulan jemputan rasmi yang disampaikan kepada beliau menerusi Marco Rubio semasa lawatan hormat ke Pejabat Perdana Menteri pada 10 Julai lalu. -airtimes.my

#Tarif #AnwarIbrahim #Trump #ekonomi #airtimes

Related Articles

Leave a Reply