if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Anwar: Malaysia sedia main peranan redakan ketegangan Pakistan-India

Anwar: Malaysia sedia main peranan redakan ketegangan Pakistan-India

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Malaysia menyatakan kesediaan untuk memainkan peranan dalam meredakan ketegangan antara Pakistan dan India susulan insiden serangan yang berlaku di wilayah Kashmir baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua negara dan bersedia menyumbang ke arah usaha damai jika diperlukan oleh pihak-pihak berkaitan.

“Saya turut menyatakan kesediaan Malaysia memainkan peranan ke arah meredakan ketegangan sekiranya diperlukan,

“Hubungan baik Malaysia dengan Pakistan dan India adalah aset penting yang boleh dimanfaatkan demi keamanan dan kestabilan serantau,” katanya dalam hantaran di media sosial, hari ini.

Terdahulu, beliau telah menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif pada Ahad yang memaklumkan mengenai penangguhan lawatan rasmi beliau ke Malaysia yang dijadual Jumaat ini.

“Saya memahami situasi rumit yang sedang dihadapi Pakistan dan mendoakan agar keadaan segera reda serta tidak terus meruncing,

“Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan menyokong penuh cadangan untuk siasatan bebas dan telus bagi mengenal pasti dalang sebenar serangan itu,” ujarnya lagi.

Dalam perbualan tersebut, PM Shehbaz turut menyatakan penghargaan terhadap hubungan erat antara Malaysia dan Pakistan serta mengutarakan hasrat untuk mempercepatkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang sedang dirunding. Anwar memberi jaminan bahawa Malaysia komited untuk menyegerakan urusan tersebut.

“Insya-Allah, apabila keadaan mengizinkan, kita akan menyambut PM Shehbaz di Malaysia dalam suasana aman dan tenteram,” katanya.

Pertempuran terbaharu itu berlaku ketika hubungan antara dua kuasa nuklear tersebut berada pada tahap paling tegang dalam beberapa tahun.

Ketegangan meningkat susulan serangan oleh kumpulan bersenjata pada 22 April lalu sehingga mengorbankan 26 orang awam di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, serangan paling dahsyat dalam tempoh 25 tahun.

New Delhi menuduh Islamabad mendalangi ‘keganasan rentas sempadan’, namun Pakistan menafikan sebarang penglibatan dan menyifatkan tuduhan itu sebagai ‘tidak berasas’.-airtimes.my

#semasa #Malaysia #Pakistan #Inda #Anwar #airtimes

Related Articles

Leave a Reply