[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=UODvRr3T820[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 24 OKT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui mula menerima ugutan daripada beberapa kuasa besar dunia susulan kelantangan Malaysia memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Anwar menegaskan, beliau tidak sama sekali akan tunduk kepada sebarang ugutan bagi memperjuangkan kebebasan buat Palestin daripada penindasan serta pembunuhan oleh rejim Zionis.
Tegasnya, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, beliau selaku ketua kerajaan tidak akan tunduk dan gentar dengan sebarang ugutan.
“Saya dikritik sekarang. Mula diserang beberapa kalangan Amerika Syarikat, Eropah dan tentunya Israel. Saya beritahu, selagi saya diberi mandat oleh rakyat, saya tidak terima ugutan itu, kita lawan tetap lawan,
“Jangan fikir untuk ancam kami. Malaysia negara bebas. Kita tentukan apa yang betul. Kita faham makna kebebasan. Kita bersama perjuangan rakyat Palestin, semalam, hari ini, dan esok,” katanya dalam Himpunan Malaysia bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.
Selain itu, Anwar berkata, sebagai negara yang bebas, Malaysia tidak akan berhenti memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
“Saya tegaskan Malaysia negara bebas dan merdeka. Malaysia ini akan kekal sebagai negara berdaulat yang akan pertahankan hak, perjuangkan kebebasan dan kebebasan rakyat Palestin,” tegas Anwar lagi sambil melaungkan hidup Palestin.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengkritik sikap berat sebelah Amerika Syarikat yang hanya mengecam Rusia berhubung isu Ukraine, tetapi bertindak menyokong Israel dalam isu pencerobohan Palestin.
Anwar berkata sokongan Amerika Syarikat dan Eropah, membuatkan Israel menjadi terlalu angkuh dan seperti satu kegilaan untuk membenarkan pembunuhan bayi dilakukan sedemikian rupa, ketika hospital dan sekolah musnah dibom.
“Ia satu kegilaan untuk membenarkan pembunuhan manusia dan bayi, hospital dibom, sekolah dimusnahkan, ini tindakan kejam. Kita boleh lihat apabila Israel langgar (ceroboh) Palestin, mereka diam. Ini hukum apa? Ini hukum rimba,” ujarnya lagi.
Perdana Menteri turut berkongsi penghormatan tinggi yang diberikan negara-negara Arab seperti Qatar, Bahrain dan Mesir kepada Malaysia, atas peranan dimainkan dalam mengangkat isu konflik Palestin-Israel.
“Saya sangat terharu, belum pernah berlaku dalam sejarah negara kita, di mana wakil negara ini terjun terus ke di rantau Arab dan jiran Gaza untuk bincang dengan tokoh-tokoh itu,
“Baik Arab Saudi atau Qatar, Bahrain dan Mesir lebih lagi Turkiye semua beri penghormatan yang sangat tinggi kepada Malaysia. Maknanya mereka mengharapkan Malaysia membuat sesuatu yang lebih, bukan sahaja menyerahkan isu ini isu Arab, tetapi isu Islam dan kemanusiaan,” katanya.
Anwar bagaimanapun berkata, kebanyakan pemimpin negara Islam ditemui, mengakui konflik Palestin ialah satu isu yang sukar ditangani dengan mudah.
Anwar berkata, perkara ini berpunca daripada sikap ego dan sombong Israel yang meraih sokongan kuat Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK).
Terdahulu, ribuan peserta membanjiri Axiata Arena sambil mengenakan pakaian serba putih sebagai tanda solidariti untuk rakyat Palestin.
Perhimpunan anjuran ABIM dan Global Peace Malaysia (GPM) itu bermula 7.30 malam dan turut melibatkan lebih 30 NGO lain.
Ia turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu; Menteri Pertahanan Mohamad Hasan, dan beberapa orang duta negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). -airtimes.my
#semasa #Malaysia #Palestin #Gaza #DSAI #airtimes