Home Politik #Politik: Saya tidak bertanding, tetapi aktif sokong gerakan Melayu – Tun M

#Politik: Saya tidak bertanding, tetapi aktif sokong gerakan Melayu – Tun M

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di 6 negeri akan datang.

Bagaimanapun, Bekas Perdana Menteri itu akan terus aktif memberi sokongan kepada gerakan orang Melayu yang ingin mendapatkan hak mereka di negara ini.

“Saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya, dan objektif saya bukan untuk menjadi perdana menteri lagi,

“Tetapi saya akan aktif menyokong gerakan Melayu yang mahukan hak mereka di negara ini. Mereka takut negara ini menjadi negara orang lain dan tidak menjadi Tanah Melayu,” katanya dalam sidang media khas Proklamasi Orang Melayu di Sepang seperti dilapor Bernama.

Enam negeri akan mengadakan PRN iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan Selangor sudah dibubarkan masing-masing pada 22 Jun dan 23 Jun lepas, Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang dibubarkan hari ini manakala DUN Negeri Sembilan akan dibubar pada 1 Julai.

Mengulas lanjut, mengenai pertemuan dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pergerakan Proklamasi Orang Melayu, beliau menjelaskan, akan bertemu dengan Ahli Parlimen Pagoh itu selepas Hari Raya Aidiladha yang akan disambung esok.

“Saya memang nak bertemu dengan dia (Muhyiddin) untuk menerangkan mengenai orang Melayu keseluruhannya dan bukan untuk menyokong sesiapa.

“Orang Melayu melihat mereka sudah hilang hak mereka di negara mereka sendiri, dan mereka akan terus terkesan kalau tidak mentadbir negara ini,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir menyatakan pendirian untuk bertemu dengan Muhyiddin dengan misi kembali bekerjasama sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat sama.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata akan bertemu Dr Mahathir dalam masa terdekat untuk membincangkan kerjasama menerusi Proklamasi Orang Melayu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?