Home Politik Tun Mahathir pula cabar Anwar dedah kekayaan ketika jadi Timbalan PM

Tun Mahathir pula cabar Anwar dedah kekayaan ketika jadi Timbalan PM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendedahkan kekayaan dimilikinya ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Perkara itu dibuat selepas sehari Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengulangi gesaan dan cabarannya supaya Dr Mahathir mendedahkan segala aset yang dimilikinya, selain anggota keluarga bekas Perdana Menteri itu.

Menerusi hantaran di media sosial, Tun Mahathir menyifatkan cabaran Anwar tehadapnya serta pemimpin terdahulu sebagai ‘menghairankan’ berikutan Perdana Menteri itu kononnya sudah memiliki bukti mengenai kekayaan mereka, malah Anwar sendiri antara pemimpin lama yang pernah dituduh membantu kroni.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mencabar Anwar untuk turut mengisytiharkan harta yang diperolehnya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri antara 1993 hingga 1998.

“Saya hairan dengan tindak-tanduk Anwar sejak akhir-akhir ini. Konon ramai pemimpin dahulu kaya kerana rasuah dan dia punyai berpuluh kotak berkenaan tuduhan ini. Kalau sudah ada dedahlah dan ‘charge’ (tuduh) di mahkamah,

“Tetapi (Anwar) tidak (berbuat demikian). Konon nak suruh pemimpin lama isytihar kekayaan mereka dan bantu rakyat miskin. Anwar adalah satu daripada pemimpin lama yang dituduh bantu kroni,

“Dedahlah kekayaan di masa (Anwar) jadi Timbalan Perdana Menteri seperti dituntut sekarang. Dan bantulah rakyat dengan duit sendiri, bukan duit kerajaan,” katanya malam tadi.

Sebelum ini, media melaporkan Anwar menggesa dan mencabar Tun Mahathir supaya mendedahkan segala aset dimiliki dirinya serta keluarga, meskipun selepas bekas Perdana Menteri itu memfailkan saman terhadap Anwar.

Ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani, Perdana Menteri mempersoalkan Mahathir dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang memiliki harta mencecah berbilion.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut mencabar Anwar mendedahkan di mahkamah segala bukti mengenai dakwaan berbilion kekayaan yang dikatakan disapu beliau dan keluarganya, supaya seluruh dunia tahu mengenainya.

“Tak payahlah menyuruh saya buat deklarasi kekayaan saya kerana kononnya Anwar tahu. Dia punyai banyak kotak dokumen yang kononnya penuh maklumat berkenaan kekayaan saya,

“Di mahkamah, tunjuk bukti yang ada pada Anwar akan kekayaan saya. Dengan itu, pengisytiharan mengenai kekayaan saya akan diketahui dunia,

“Tak perlu saya isytihar lagi. Tetapi Anwar juga perlu isytihar,” tegasnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply