OXFORD, 13 JAN – Republik Ireland telah memuktamadkan pembelian 4 buah helikopter H145M selepas meterai kontrak perolehan dengan Airbus.
H145M merupakan helikopter sokongan yang mampu untuk melaksanakan misi mengangkut dan juga serangan ringan.
Menurut Airbus dalam satu kenyataan, H145M merupakan siri helikopter terbaharu yang akan dimiliki oleh Ireland dan akan digunakan untuk misi pertahanan serta keselamatan.
Difahamkan, helikopter ini akan memainkan peranan dalam operasi pasukan khusus republik itu.
“Perolehan H145M merupakan transformasi penting untuk Irish Air Corps. Pesawat ini bukan sahaja mempunyai prestasi yang baik malah mempunyai ruang untuk ditingkat upaya dengan senjata baharu pada masa hadapan,” kata Ketua Staf Irish Defence Forces, Leftenan Jeneral Sean Clancy dalam kenyataan Airbus.
Menurut beliau, H145M akan merupakan antara langkah ke hadapan oleh Ireland untuk meningkatkan keupayaan dan transformasi tentera Ireland.
H145M merupakan helikopter versi tentera dari model H145. Helikopter berenjin kembar ini mampu untuk melaksanakan operasi pengangkutan dan juga melaksanakan serangan bantuan di medan pertempuran.
Helikopter ini mempunyai varian lain iaitu UH-72A/B Lakota yang dioperasikan oleh tentera Amerika Syarikat. – airtimes.my
#AirTimes #Airbus #H145M