Home Teknologi PertahananEurofighter Typhoon cecah 1 juta jam penerbangan

Eurofighter Typhoon cecah 1 juta jam penerbangan

by M.Daim
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 31 JAN – Eurofighter Typhoon terus mengukuhkan kedudukannya sebagai tulang belakang pertahanan udara benua itu apabila armadanya secara rasmi melepasi rekod 1 juta jam penerbangan.

Perkara tersebut disahkan oleh pihak Airbus Defence and Space dalam satu kenyataan yang di hantar melalui e-mel.

Pencapaian bersejarah ini bukan sekadar angka statistik, sebaliknya ia menjadi bukti kebolehpercayaan pesawat tempur tersebut dalam melaksanakan misi kritikal. Ini terutamanya ketika situasi keselamatan global yang semakin tidak menentu.

Selain itu, keyakinan terhadap keupayaan pesawat ini diterjemahkan melalui lonjakan permintaan mendadak, menyaksikan 89 tempahan baharu diterima dalam tempoh 13 bulan lalu.

Tempahan tersebut datang daripada negara pengguna utama seperti Jerman, Itali dan Sepanyol, serta pelanggan eksport baharu iaitu Turki.

Perkembangan mutakhir ini mengukuhkan status Eurofighter sebagai program pesawat tempur Eropah paling berjaya yang masih dalam pengeluaran, dengan jumlah keseluruhan tempahan mencecah 769 unit dan 613 daripadanya telah diserahkan kepada pelanggan.


Eurofighter Typhoon mengalami lonjakan permintaan sebanyak 89 tempahan baharu dalam tempoh 13 bulan./Foto: Airbus Defence and Space


Tulang Belakang Pertahanan NATO

Rekod 1 juta jam penerbangan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh operasi intensif yang dijalankan di seluruh Eropah. Pesawat ini memainkan peranan yang amat diperlukan dalam strategi pertahanan Pertubuhan Atlantik Utara (NATO), khususnya dalam misi pemantauan ruang udara (air policing)/

Sebagai contoh, atur gerak Eurofighter Typhoon di barisan hadapan timur NATO membuktikan aset ini sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga tinggi. Leftenan Kolonel Tenne, Ketua Operasi Penerbangan bagi detasmen Jerman yang kini bertugas di Romania menjelaskan bahawa kehadiran pesawat tersebut adalah vital bagi mengekang sebarang ancaman luar.

“Matlamat detasmen kami adalah untuk melindungi kawasan tenggara NATO berhampiran Laut Hitam. Dengan Eurofighter, kami mampu memberikan tindak balas sepantas kilat terhadap sebarang kemungkinan,” katanya dalam satu perkongsian di laman web Airbus.

Kenyataan ini sekaligus menyokong fakta bahawa jam penerbangan yang direkodkan bukan sekadar latihan rutin, tetapi melibatkan rondaan tempur sebenar. Ini lebih-lebih lagi dengan melihat keadaan semasa geopolitik Eropah yang berhadapan dengan ketegangan akibat Perang Ukraine-Rusia dan juga aktiviti zon kelabu oleh pihak tertentu.


Lonjakan operasi tempo rondaan ruang udara NATO yang semakin kerap antara menjadi faktor penyumbang kepada pencapaian 1 juta jama penerbangan Eurofighter Typhoon. /Foto: Airbus Defence and Space


Mengenali Eurofighter Typhoon

Berbeza dengan majoriti jet pejuang lain yang lazimnya dikeluarkan oleh sebuah negara tunggal, Eurofighter Typhoon adalah hasil kerjasama strategik empat kuasa besar Eropah iaitu Jerman, Britain, Itali dan Sepanyol.

Projek mega ini bukan sahaja bertujuan menghasilkan pesawat tempur pelbagai peranan (multirole) yang mampu bersaing di peringkat global, tetapi juga menjadi sebagai enjin ekonomi. Ia direka untuk memberikan keupayaan pertahanan yang ampuh dan kuasa cegah rintang yang mampan untuk Eropah.

Dari sudut industri, program ini menjana ekosistem ekonomi yang luas dengan menjamin lebih 100,000 peluang pekerjaan di 400 syarikat merentasi benua Eropah.

Gabungan teknologi canggih dan rantaian bekalan yang kompleks menjadikan ia satu-satunya pesawat yang benar-benar “milik Eropah”.


Pengeluaranjet pejuang Eurofighter Typhoon libatkan kerjasama strategik di antara beberapa buah negara di Eropah. /Foto: Airbus Defence and Space


Airbus Giatkan Pengeluaran

Susulan peningkatan tempahan yang mendadak, Airbus kini sedang mempergiatkan kadar pengeluaran komponen utama pesawat tersebut. Syarikat gergasi aeroangkasa itu bertanggungjawab memasang pesawat untuk Jerman dan Sepanyol di barisan pemasangan akhir (Final Assembly Line,FAL) yang terletak di Manching, Jerman dan Getafe, Sepanyol.

Selain itu, Airbus turut memegang peranan kritikal dalam pembuatan bahagian fiuslaj tengah dan sayap kanan bagi kesemua pesawat Eurofighter Typhoon. Ini termasuk unit yang dipasang oleh rakan kongsi lain seperti Leonardo di Itali dan BAE Systems di United Kingdom untuk pasaran Turki.

Bagi menampung permintaan masa depan, Airbus menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran komponen struktur utama ini.

Menjelang tahun 2028, kadar pengeluaran dijangka meningkat daripada 14 unit setahun kepada lebih 20 unit setahun.

Airbus bersama rakan kongsi konsortium kini komited untuk terus membangunkan teknologi pesawat ini.

Langkah pemodenan berterusan sedang giat dijalankan bagi memastikan Eurofighter kekal relevan dan berteknologi tinggi sebagai tonggak utama kuasa udara NATO untuk beberapa dekad akan datang. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply