Selama ini, banyak negara hidup di bawah apa yang sering digambarkan sebagai “payung keselamatan” Amerika Syarikat, namun dokumen Strategi Pertahanan Negara 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perang Amerika Syarikat baru-baru ini bukan sekadar satu lagi kertas kerja birokrasi, sebaliknya ia adalah isyarat jelas bahawa era Amerika Syarikat sebagai “polis dunia” yang menanggung semua kos keselamatan global telah tamat.
Di bawah pentadbiran Presiden Trump, Washington kini memperkenalkan pendekatan realisme praktikal yang menuntut sekutu-sekutunya, khususnya di Eropah dan Asia Timur, untuk memikul tanggungjawab utama dalam mempertahankan kedaulatan mereka sendiri.
Naratif baharu ini menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak lagi bersedia menjadi pelindung utama secara percuma kepada negara-negara yang sebenarnya mampu berdiri di atas kaki sendiri.
Fokus utama perubahan ini terarah kepada benua Eropah yang sedang berhadapan dengan ancaman Rusia. Selama berdekad-dekad, naratif yang sering dijaja ialah Eropah tidak mampu bertahan tanpa payung keselamatan Amerika Syarikat.

Pasukan Tempur Briged Berperisai Kedua dan Divisyen Berkuda AS bersama anggota tentera NATO./Foto: U.S. Army National Guard
Namun, dokumen strategi ini mendedahkan satu realiti ekonomi yang sukar disangkal kerana statistik menunjukkan bahawa gabungan ekonomi negara-negara NATO tanpa Amerika Syarikat mencecah nilai $26 trilion, satu jumlah yang jauh lebih besar berbanding ekonomi Rusia yang hanya bernilai sekitar $2 trilion.
Atas dasar fakta ini, Washington berhujah bahawa adalah tidak masuk akal untuk pembayar cukai Amerika terus membiayai pertahanan sebuah benua yang ekonominya 13 kali ganda lebih besar daripada musuh utamanya. Oleh itu, mandat baharu menetapkan bahawa negara-negara Eropah mesti memimpin pertahanan konvensional mereka sendiri menentang Rusia, manakala peranan AS akan berubah menjadi penyedia sokongan yang kritikal tetapi terhad.
Situasi yang serupa turut berlaku di Asia Timur melibatkan Semenanjung Korea, Seoul selama ini bergantung harap kepada kehadiran tentera Amerika Syarikat sebagai penghalang utama kepada pencerobohan Korea Utara. Namun, strategi 2026 ini mengiktiraf bahawa Korea Selatan hari ini bukan lagi negara yang lemah seperti pasca perang 1950-an.

Tentera A.S. dan Korea Selatan semasa latihan ketenteraan bersama Foal Eagle di Pocheon, Korea Selatan./Foto: U.S Army
Dengan angkatan tentera yang moden, industri pertahanan yang teguh, dan sistem kerahan tenaga yang berdisiplin, Korea Selatan diklasifikasikan sebagai negara yang mampu mengambil tanggungjawab utama untuk menghalang ancaman dari Utara .
Amerika Syarikat melihat kemampuan Seoul ini sebagai peluang untuk mengurangkan beban langsung mereka di semenanjung tersebut, membolehkan Washington menumpukan sumber ketenteraan yang terhad kepada ancaman yang lebih mendesak, iaitu China di Indo-Pasifik dan keselamatan tanah air mereka sendiri.
Peralihan strategi ini tidak bermakna Amerika Syarikat akan meninggalkan sekutunya secara menyeluruh atau menjadi negara yang mengasingkan diri. Sebaliknya, konsep yang diperkenalkan adalah pembahagian tugas yang lebih adil dan pragmatik.

AS melihat bahawa sumber ekonomi negara-negara NATO dan Korea Selatan yang besar mampu untuk berdikari sendiri daripada ancaman tanpa perlu mendapatkan bantuan daripada AS./Foto: Nato
Washington tetap akan membantu, tetapi bantuan itu kini bersifat sokongan strategik seperti perkongsian risikan, logistik, dan teknologi canggih, bukannya menghantar ribuan tentera untuk bertempur di barisan hadapan bagi pihak negara lain.
Negara-negara sekutu perlu melabur dalam pertahanan mereka sendiri dengan menetapkan perbelanjaan ketenteraan pada paras 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, satu angka yang jauh lebih tinggi daripada piawaian lama.
Secara tuntasnya, strategi ini memaksa dunia untuk menerima realiti baharu bahawa keselamatan negara adalah tanggungjawab mutlak kerajaan masing-masing. Bagi Eropah dan Korea Selatan, ini adalah masa untuk “dewasa” dalam aspek ketenteraan dan tidak lagi mengharapkan bantuan tanpa had dari seberang laut.
Bagi Amerika Syarikat pula, langkah ini adalah satu keperluan strategik untuk memastikan mereka kekal relevan dan kuat dalam menghadapi cabaran geopolitik yang semakin kompleks, tanpa membebankan rakyat mereka dengan peperangan yang sepatutnya diuruskan oleh sekutu yang kaya dan berkemampuan. -airtimes.my
