Home Teknologi PertahananDron kamikaze Todak bukti Malaysia mampu hasilkan aset pertahanan teknologi tinggi

Dron kamikaze Todak bukti Malaysia mampu hasilkan aset pertahanan teknologi tinggi

by Zaki Salleh
A+A-
Reset
KUALA LUMPUR, 10 MEI – Semasa pertama kali dipamerkan kepada umum pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2024 (DSA 2024), dron kamikaze Todak mencuri tumpuan.
Ini kerana berbeza dengan dron biasa adalah dron kamikaze dilancarkan ke sasaran untuk memusnahkannya.
Penghasilan dron Todak oleh syarikat tempatan, Mindmatics Sdn. Bhd. (Mindmatics) menunjukkan Malaysia tidak ketinggalan dalam penguasaan teknologi ini.
Hanya dua tahun kemudian iaitu pada Januari lalu, pembangunan sistem dron kamikaze antara tujuh projek nasional yang ditetapkan dalam Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) sebagai permulaan.
Turut dalam perancangan ATM adalah pembangunan dron kamikaze tempatan atau Loitering Munition Systems (LMS) yang boleh membuat pemantauan dan seterusnya menghapuskan sasaran.
Dron kamikaze Todak sekali mencuri tumpuan apabila dipamerkan pada pameran berprestij, Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Ketua Projek Mindmatics, Syed Firdaus Sayed Rohani, Todak boleh membawa kepala peledak sehingga 0.5 kilogram dengan keupayaan terbang ke sasaran sejauh 75 kilometer.
Dron kamikaze Todak mengambil masa kira-kira dua tahun untuk dibangunkan.
Jelasnya, Todak direka sebagai peluru pintar (smart munition) dengan keupayaan menyerang sasaran secara tepat, sama ada pegun atau bergerak.
“Ia dilengkapi algoritma kecerdasan buatan (AI) serta unit kawalan tembakan  bersaiz kecil bagi meningkatkan ketepatan serangan.
“Dengan masa operasi sehingga 40 minit dan jarak operasi signifikan, dron ini mencerminkan kemajuan keupayaan tempatan.
“Keupayaannya membawa beban letupan serta dilancarkan melalui sistem catapult menjadikannya fleksibel dalam pelbagai senario operasi,” ujarnya.
Penghasilan Todak juga menandakan evolusi Mindmatics daripada pembangunan dron pemantauan kepada sistem serangan khusus.
Jelas Syed Firdaus, dron Todak telah bersedia untuk menjadi aset baharu atau aset masa hadapan ATM sekali gus meletakkan angkatan pertahanan negara lebih siaga.
“Dron kini memainkan peranan utama dalam rantaian ‘sensor kepada penembak’, membolehkan sasaran dimusnahkan dalam tempoh singkat dengan harga yang jauh lebih rendah.
“Perkembangan ini menjadikan peperangan lebih ringan, pintar dan terdesentralisasi berbanding pendekatan konvensional,” ujarnya.
Dalam konteks global, penggunaan dron secara meluas dalam konflik seperti Perang Ukraine-Rusia membuktikan perubahan drastik taktik peperangan moden.
Terbaharu adalah dalam Perang Iran di Teluk, manakala di rantau ini semasa konflik sempadan Thailand dan Kemboja.
Penggunaan dron kamikaze bukan lagi pilihan, tetapi keperluan strategik dalam menghadapi ancaman masa depan tidak terkecuali kepada Angkatan Tentera Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply