Home Pertahanan dan KeselamatanFazal ambil alih tugas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan

Fazal ambil alih tugas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan

Pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Haji Fazal Abdul Rahman sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan dilihat membawa dimensi tersendiri kepada organisasi perisikan pertahanan negara.

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 22 MEI – Leftenan Jeneral Datuk Haji Fazal Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) yang baharu dalam satu majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas yang disempurnakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Dato’ Seri Malek Razak Sulaiman.

Majlis tersebut turut dihadiri Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Azhan Md Othman bersama pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Majlis dimulakan dengan upacara pemakaian pangkat Leftenan Jeneral kepada Fazal sebagai simbol rasmi pelantikan beliau menerajui organisasi perisikan pertahanan ATM. Majlis kenaikan pangkat dan serah terima tugas telah dilaksanakan pada Khamis, 21 Mei.

Sebelum ini, beliau merupakan Asisten Ketua Staf Operasi Latihan Pertahanan, Bahagian Operasi Latihan Pertahanan di Markas ATM.

Fazal turut memiliki pengalaman luas dalam pelbagai jawatan strategik termasuk pernah menjawat Panglima 2 Divisyen Infantri serta Ketua Staf Markas Angkatan Bersama (MK AB).

Beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Mejar Jeneral Dato’ Saharudin Harun yang memangku tanggungjawab sejak 16 Januari lalu menggantikan Leftenan Jeneral Datuk Mohd Razali Alias yang bersara.

Pelantikan Fazal menjadi sorotan ketika institusi ATM berada di bawah perhatian umum susulan kekosongan beberapa jawatan strategik peringkat tertinggi akibat persaraan awal penyandang terdahulu.

Perkembangan itu menjadikan proses pengisian jawatan penting tersebut sebagai tumpuan pelbagai pihak yang melihatnya sebagai penentu hala tuju, kestabilan serta usaha memperkukuh keyakinan terhadap institusi pertahanan negara.

Pelantikan KPPP baharu ini turut membawa cabaran tersendiri memandangkan Fazal bukan berasal daripada cabang perisikan pertahanan secara langsung.

Mengetuai organisasi perisikan pertahanan memerlukan pendekatan yang berbeza serta kefahaman mendalam terhadap landskap risikan semasa.

Persekitaran tugas menuntut keupayaan sebagai pemikir strategik perisikan, khususnya dalam mendepani perubahan senario geostrategik serantau dan antarabangsa yang semakin kompleks.

Tanggungjawab itu bukan sahaja melibatkan pengumpulan serta analisis maklumat strategik pertahanan, malah memerlukan keupayaan menilai ancaman keselamatan secara menyeluruh dan dinamika keselamatan serantau.

Pelantikan Fazal dilihat membawa dimensi tersendiri kepada organisasi perisikan pertahanan negara. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply