Home Teknologi PertahananDron Transwing: Evolusi baharu doktrin logistik maritim Australia

Dron Transwing: Evolusi baharu doktrin logistik maritim Australia

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Keputusan Tentera Laut Diraja Australia (RAN) memperoleh pesawat tanpa pemandu (UAV) Transwing daripada PteroDynamics, merupakan isyarat jelas hala tuju doktrin maritim masa hadapan yang semakin meluas.

Nilainya bukan semata-mata pada dron itu sebagai produk baharu, tetapi sebagai sebuah alat yang mampu menyelesaikan sesuatu masalah pada operasi, iaitu bagaimana menghantar muatan kecil, pantas dan bernilai tinggi antara kapal, pantai serta kedudukan hadapan tanpa terlalu bergantung kepada helikopter berawak atau pergerakan kapal permukaan.

Di bawah kontrak itu, PteroDynamics akan membekalkan pesawat tanpa pemandu P4 Transwing, latihan dan sokongan teknikal kepada RAN, dengan pilihan memperoleh varian P5 yang lebih besar bagi penghantaran bermula 2027.

Menurut laporan Naval News, memetik kenyataan PteroDynamics, kontrak ini menyusul demonstrasi P4 kepada Angkatan Pertahanan Australia (ADF) dan RAN pada April 2025, termasuk penilaian keupayaan beroperasi di kawasan terkepung di darat dan perairan.

Inovasi Kejuruteraan: Geometri Sayap Lipat

Keunikan utama Transwing terletak pada reka bentuk sayap lipatnya. Dalam mod pelepasan dan pendaratan menegak (VTOL), sayap dilipat adalah bagi mengurangkan ruang tapak operasi. Ini di mana apabila memasuki penerbangan mendatar, sayap tersebut akan dipanjangkan bagi mendapatkan sebahagian kelebihan aerodinamik pesawat sayap tetap.

Pendekatan ini cuba mengurangkan kompromi lazim dalam reka bentuk dron hibrid. Multi-rotor biasanya lebih mudah beroperasi di ruang sempit, tetapi jarak dan ketahanannya terhad. Pesawat sayap tetap pula lebih cekap untuk penerbangan mendatar, namun kebiasaannya memerlukan landasan, pelancar atau sistem pemulihan tertentu.

PteroDynamics mendakwa Transwing menggabungkan kelebihan kedua-dua pendekatan itu melalui konfigurasi sayap yang boleh berubah mengikut fasa penerbangan. Selain itu, syarikat tersebut turut menyatakan platform Transwing dilindungi beberapa paten dan dibangunkan untuk operasi autonomi VTOL.

Namun, klaim teknikal seperti kestabilan, toleransi angin dan kecekapan jarak masih perlu dibaca sebagai dakwaan pengeluar sehingga disokong pengalaman operasi yang lebih luas. Dalam konteks maritim, keupayaan berlepas dan mendarat di ruang terhad hanya satu bahagian daripada cabaran. Faktor lain termasuk angin lintang, pergolakan udara di dek kapal, kawalan autonomi, keselamatan penerbangan dan kebolehpercayaan sistem dalam operasi berulang.

P4 Transwing: Wira logistik kritikal, bukan pengganti helikopter

 

P4 Transwing mempunyai berat berlepas maksimum sekitar 89 paun atau 41 kilogram, dengan muatan maksimum kira-kira 15 paun atau 6.8 kilogram. Angka ini menunjukkan peranannya lebih sesuai untuk penghantaran muatan kecil seperti alat ganti, bekalan perubatan ringan, bateri, komponen komunikasi atau peralatan kritikal yang perlu sampai dengan cepat. Ia bukan pengganti helikopter untuk muatan besar, pemindahan anggota atau misi kompleks lain.

Nilai sebenar sistem seperti ini muncul apabila muatan yang kecil membawa kesan operasi yang besar. Dalam operasi maritim, satu komponen gantian atau peralatan komunikasi boleh menentukan sama ada sistem kapal dapat terus berfungsi atau perlu menunggu sokongan logistik konvensional. Dalam keadaan tertentu, penggunaan dron autonomi boleh mengurangkan keperluan sorti helikopter berawak untuk tugasan kecil yang mahal, berisiko dan memakan sumber.

P5 antara angka prestasi dan had penerbangan

Pilihan RAN untuk mendapatkan P5 Transwing juga, memberi gambaran arah pembangunan yang lebih besar. P5 dilaporkan mempunyai berat berlepas maksimum 330 paun atau 145 kilogram, membawa muatan 50 paun atau 23 kilogram, dengan jarak melebihi 400 batu nautika pada kelajuan pelayaran sekitar 70 knot.

Namun, angka ini perlu dihuraikan dengan cermat. Jarak 400 batu nautika pada 70 knot bersamaan kira-kira 5.7 jam penerbangan secara teori, tetapi ia tidak boleh disamakan terus dengan “jejari misi” enam jam. Operasi sebenar perlu mengambil kira rizab tenaga, cuaca, profil penerbangan, muatan, perancangan pulang atau pemulihan serta had keselamatan penerbangan. P5 juga perlu dilihat sebagai keupayaan masa hadapan yang masih bergantung pada pembangunan, ujian dan integrasi, bukan keupayaan sedia ada yang sudah terbukti sepenuhnya dalam armada RAN.

Logistik autonomi: Kuasa kecil mengubah landskap Indo-Pasifik

Perolehan ini berlaku ketika Australia sedang menstruktur semula keupayaan pertahanannya ke arah angkatan yang lebih bersepadu dan berfokus. Ini mencerminkan perubahan yang lebih luas dalam cara tentera laut Barat memikirkan tentang kemampanan di Indo-Pasifik. National Defence Strategy 2024 Australia menyatakan bahawa ADF akan beralih kepada “integrated, focused force” berasaskan strategi penafian sebagai asas perancangan pertahanan.

Dalam domain maritim, RAN juga telah menamakan Maritime Autonomous Systems Unit (MASU), yang diwujudkan untuk mempercepat pembangunan, integrasi dan penggunaan sistem autonomi maritim. Unit itu dilapor memainkan peranan dalam pembangunan doktrin, eksperimen, latihan serta penilaian sistem tanpa kru, termasuk melalui kerangka AUKUS Pillar Two.

Transwing lebih wajar dilihat sebagai pelengkap kepada armada berawak, bukan pengganti menyeluruh. Ia boleh membantu mengisi jurang logistik tertentu, terutama bagi penghantaran muatan kecil dan dengan kadar segera dalam persekitaran maritim yang luas. Tetapi keberkesanannya tetap bergantung pada latihan, prosedur, keselamatan komunikasi, penyelenggaraan, kawalan misi dan keserasian dengan operasi kapal.

Transwing menunjukkan pendekatan menarik dalam evolusi sistem VTOL tanpa pemandu. Reka bentuk sayap lipatnya menawarkan kemungkinan baharu untuk logistik maritim autonomi, khususnya apabila kapal dan unit hadapan memerlukan bekalan kecil tanpa mengerahkan aset berawak.

Bagi Australia, langkah ini menandakan satu lagi percubaan membina daya tahan logistik maritim melalui sistem tanpa kru. Bagi pemerhati serantau, termasuk Malaysia, ia memberi gambaran bahawa masa depan operasi maritim tidak hanya ditentukan oleh kapal besar, tetapi juga oleh sistem kecil yang mampu mengekalkan aliran bekalan dalam ruang operasi yang semakin kompleks. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply