Zaki Salleh
MINDEF teliti isu perolehan NSM, bincang dengan kerajaan Norway
Jelapang Resources Perkukuh Peranan Syarikat Tempatan Dalam Industri Pertahanan
Kolumnis: Dalam bayang konflik global, DSA 2026 kekal sebagai acara pertahanan berprestij
Kursus Marshalling, pengendalian Bilik Gerakan tingkat kecekapan Polis Pahang
Kolumnis: TLDM kembali dapat taring, perolehan peluru berpandu kuatkan armada
Penantian panjang untuk melihat lonjakan keupayaan tempur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akhirnya dilihat semakin menemui noktah. Selepas bertahun-tahun berdepan pelbagai cabaran perolehan, perkembangan terkini memberi sinar baharu kepada kekuatan armada negara.
Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengesahkan pembelian sistem peluru berpandu bagi kapal-kapal perang terbaharu TLDM.
Perolehan ini dimeterai sempena DSA 2026 yang menjadi platform utama pengumuman kerjasama strategik pertahanan. Langkah tersebut melibatkan sistem peluru berpandu antikapal dan pertahanan udara kapal yang menjadi elemen kritikal dalam peperangan moden. Ia sekali gus menandakan perubahan signifikan terhadap keupayaan tempur permukaan TLDM.
Sebelum ini, isu kelewatan pemilihan sistem persenjataan terutama bagi kapal Littoral Combat Ship (LCS) sering menjadi perhatian. Malah, projek LCS yang mengambil masa sehingga 17 tahun menimbulkan pelbagai persoalan terhadap hala tuju pembangunan keupayaan maritim negara. Namun, keputusan terkini ini memberi gambaran jelas bahawa kerajaan kini lebih tegas dalam memastikan kapal yang dibina dilengkapi sistem tempur lengkap.
Perolehan melibatkan sistem K-SAAM daripada LIG Nex1, Korea (RM374.67) serta peluru berpandu ATMACA keluaran Roketsan dari Turkiye (RM369.2 juta) untuk kapal LMS Batch 2. Selain itu, surat hasrat turut diberikan kepada MBDA bagi sistem VL MICA untuk kapal LCS. Walaupun kos penuh bagi sistem tersebut masih dalam rundingan, langkah ini sudah cukup untuk menunjukkan komitmen kerajaan.
ATMACA merupakan misil anti permukaan yang dioperasikan oleh Tentera Laut Turkiye. Kapal kelas ADA, TCG KINALIADA telah berjaya melaksanakan penembakan misil ini pada Februari 2021. Apa yang lebih menarik adalah model TCG KINALIADA telah dipilih sebagai kapal LMS Kelompok 2 (LMS Batch 2) TLDM. Gambar: Kementerian Pertahanan Turkiye.
Secara keseluruhan, perolehan ini melibatkan nilai berbilion ringgit yang turut merangkumi kontrak lain berkaitan aset dan sokongan logistik.
Apa yang lebih penting, ia bakal memberikan TLDM keupayaan pertahanan berlapis yang sebelum ini terhad.
Dengan gabungan peluru berpandu anti kapal dan pertahanan udara, kapal TLDM tidak lagi sekadar platform rondaan tetapi mampu bertindak sebagai aset tempur sebenar. Ini bermakna tiga kapal LMS Batch 2 dan lima kapal LCS menjadikan lapan kapal perang TLDM bakal memiliki ‘taring’ yang digeruni. Keupayaan ini penting dalam memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara dalam persekitaran geopolitik yang semakin mencabar.
Justeru, langkah memperkukuh TLDM adalah selari dengan keperluan mempertahankan kedaulatan negara.
Menariknya, perolehan ini turut disokong melalui program Kerjasama Industri (ICP) yang memberi manfaat kepada industri tempatan. Syarikat seperti BHIC Submarine & Engineering Sdn Bhd dan limbungan tempatan lain turut terlibat dalam pemindahan teknologi. Melalui kerjasama ini, tenaga kerja tempatan akan dihantar ke limbungan di Turkiye untuk latihan pembinaan kapal.
Keperluan tempur armada TLDM merupakan antara aspek yang amat diperlukan dalam mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia. Keupayaan anti permukaan TLDM pada ketika ini digalas oleh misil EXOCET. Gambar: Air Times/Muaz
Inisiatif ini penting bagi memastikan keupayaan penyelenggaraan dapat dilakukan secara tempatan pada masa hadapan. Ia juga membuka ruang kepada pembangunan ekosistem industri pertahanan negara yang lebih mampan.
Dalam konteks lebih luas, keputusan ini mencerminkan perubahan pendekatan kerajaan daripada sekadar membeli aset kepada membina keupayaan menyeluruh. Namun begitu, cabaran sebenar adalah memastikan pelaksanaan perolehan berjalan lancar tanpa kelewatan seperti sebelum ini. Ketelusan, pemantauan rapi dan disiplin pelaksanaan menjadi kunci kejayaan projek ini.
Sekiranya semua berjalan seperti dirancang, TLDM bakal memasuki era baharu dengan keupayaan tempur yang jauh lebih kredibel. Penantian yang sekian lama akhirnya hampir berakhir dengan pembentukan armada yang benar-benar berkeupayaan tempur. Lonjakan kuasa TLDM kini bukan lagi sekadar perancangan di atas kertas, sebaliknya semakin menjadi realiti. – airtimes.my
Mindmatics bangunkan sistem komunikasi RADKOM pertingkat kecekapan dan keselamatan negara
KUALA LUMPUR, 23 APR – Syarikat tempatan, Mindmatics Sdn Bhd (Mindmatics) berjaya membangunkan sistem komunikasi Radio Mudah Alih Digital (Digital Mobile Radio -DMR) dikenali sebagai RADKOM (Radio Komunikasi Malaysia) bagi memperkukuh keupayaan komunikasi strategik negara.
Sistem berkenaan dibangunkan setahun lalu selaras dengan usaha memperkasakan teknologi komunikasi digital yang selamat dan efisien.
Nama RADKOM telah diberikan secara rasmi oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamad Khaled Nordin pada pameran DSA 2026.
Menurut Mindmatics, RADKOM telah melalui fasa ujian dalaman dan kini bersedia untuk menjalani ujian kesesuaian oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menilai keberkesanan keseluruhan sistem dalam persekitaran operasi sebenar.
RADKOM menggunakan piawaian DMR yang dibangunkan mengikut standard European Telecommunications Standards Institute (ETSI), yang turut diguna pakai secara meluas di peringkat global.
Antara kelebihan utama sistem ini adalah penggunaan frekuensi yang lebih efisien dan tersusun, sekali gus meningkatkan kualiti komunikasi serta mengurangkan gangguan isyarat.
Selain itu, penggunaan sistem trunking membolehkan komunikasi dilakukan dengan lebih selamat, stabil dan tersusun, terutama dalam operasi berskala besar melibatkan pelbagai agensi.
RADKOM turut menawarkan komunikasi suara digital berkualiti tinggi, di samping keupayaan integrasi dengan aplikasi serta sistem pengurusan operasi moden. Sistem ini menyokong komunikasi secara berkumpulan dan individu, menjadikannya sesuai digunakan oleh pelbagai sektor termasuk kerajaan, keselamatan, utiliti dan pengangkutan.
Dari aspek keselamatan, RADKOM dilengkapi ciri penyulitan data berteknologi tinggi termasuk AES-256 serta dilengkapi dengan teknologi kriptografi pasca-kuantum (PQC), sekali gus meningkatkan tahap perlindungan maklumat. Peranti ini juga direka dengan prestasi lasak mengikut standard ketenteraan MIL-STD 810G serta perlindungan persekitaran IP68, sesuai digunakan dalam pelbagai keadaan mencabar.
Ia turut menyokong operasi dalam mod digital dan analog, dengan julat frekuensi antara 350 hingga 479 MHz serta kuasa penghantaran 1W hingga 4W. RADKOM dilengkapi sistem GPS, bateri berkapasiti 3000mAh jenis lithium polymer serta keupayaan operasi dalam suhu antara -20 hingga 60 darjah Celsius dengan kelembapan sehingga 95 peratus.
Dalam pada itu, sistem ini juga bersifat mudah dihasilkan untuk peluasan di peringkat nasional, sekali gus membuka ruang kepada penggunaan lebih meluas dalam industri kritikal negara. Pembangunan RADKOM dilihat sebagai satu langkah penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar, selain memperkukuh ekosistem keselamatan dan komunikasi tempatan. – airtimes.my
Kumpulan pertama pesawat FA-50M TUDM siap, penghantaran ikut jadual
KUALA LUMPUR, 22 APR – Perolehan pesawat tempur ringan FA-50M milik Tentera Udara Diraja Malaysia mencatat perkembangan signifikan apabila kumpulan pertama pesawat tersebut dilaporkan siap sepenuhnya.
Perkembangan terkini itu dikongsikan TUDM menerusi foto lawatan kerja Panglima Tentera Udara ke fasiliti Korea Aerospace Industries (KAI) di Sacheon, Korea Selatan.
Lawatan yang berlangsung dari 12 hingga 15 April lalu itu diketuai Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris. Ia bertujuan mendapatkan taklimat terkini berhubung status pelaksanaan projek perolehan pesawat FA-50M.
Taklimat tersebut merangkumi aspek pembangunan, integrasi sistem serta jadual penghantaran pesawat. Langkah ini penting bagi memastikan keseluruhan program berjalan mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
Dalam masa sama, Panglima Tentera Udara turut berpeluang meninjau secara fizikal proses pemasangan pesawat berkenaan. Beliau juga melihat sendiri integrasi sistem yang dilaksanakan di premis KAI.
Hasil lawatan itu memberi keyakinan bahawa tahap kemajuan projek berada pada landasan yang kukuh. Ia sekali gus mengesahkan bahawa penghantaran kumpulan pertama pesawat berkenaan dijangka dapat direalisasikan seperti dirancang.
Sepanjang lawatan tersebut, perbincangan turut diadakan mengenai potensi program naik taraf pesawat pada masa hadapan. Selain itu, beberapa cabaran pelaksanaan projek turut dikenal pasti bersama pihak pengeluar.
Langkah mitigasi juga dibincangkan bagi memastikan kelancaran program perolehan ini. Lawatan ini mencerminkan komitmen TUDM dalam memastikan kesiagaan dan kemampanan aset pertahanan udara negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Rakan seangkatan di negara seberang, Tentara Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU) menyambut ulang tahun ke-80 dengan iltizam menjadi kuasa udara serantau.
Bukan sekadar simbolik sejarah penubuhan, tetapi mencerminkan anjakan dimensi baharu dalam pembinaan kekuatan udara serantau.
Dengan mengangkat slogan ‘Pengabdian Tanpa Batas’, TNI-AU memperlihatkan tekad untuk terus relevan dalam landskap keselamatan yang semakin kompleks.
Ia selari dengan visi TNI-AU AMPUH, iaitu gabungan akronim Adaptif, Moden, Profesional, Unggul dan Humanis.
Pendekatan ini bukan sahaja menekankan keupayaan tempur, malah keseimbangan antara kekuatan ketenteraan dan peranan kemanusiaan.
Dimensi baharu ini dizahirkan secara nyata melalui kemasukan aset strategik terkini ke dalam TNI-AU iaitu pesawat pejuang generasi 4.5, Dassault Rafale.
Pesawat Rafale juga ditonjolkan secara ketara pada poster rasmi sambutan HUT ini termasuk pada paparan video pasukan tersebut.
Semestinya TNI-AU mempunyai perasaan bangga apabila menjadi pengguna terbaharu pesawat tempur berkenaan.
Penerimaan tiga buah Rafale F4 pertama pada awal tahun ini menjadi simbol lonjakan keupayaan tempur udara Indonesia.
Ia hasil daripada kontrak keseluruhan sebanyak 42 buah pesawat bernilai kira-kira RM38 bilion.
AMPUH digambarkan secara jelas dan konsisten apabila Jakarta tampil berani melaksanakan pemodenan aset TNI-AU dengan mengeluarkan perbelanjaan besar.
Malah, perancangan untuk menambah sehingga 24 buah pesawat lagi mencerminkan komitmen jangka panjang Jakarta dalam memperkukuh dominasi udara.
Rafale bukan sekadar platform tempur, tetapi membawa keupayaan pelbagai peranan termasuk serangan darat, pertahanan udara dan operasi bersepadu berteknologi tinggi.
Rafale membarisi pesawat-pesawat sedia ada TNI-AU seperti F-16 dan Sukhoi SU27/30.
Dalam masa yang sama, pemodenan TNI-AU turut diperkuat melalui penerimaan pesawat latihan lanjutan KAI T-50i Golden Eagle baharu dari Korea Selatan.
Platform ini memainkan peranan penting sebagai ‘lead-in fighter trainer’, memastikan juruterbang bersedia mengendalikan pesawat tempur moden seperti Rafale.
TNI-AU lebih awal menjadi pengguna pesawat ini di rantau sebelah sini apabila membeli 16 buah pesawat pada tahun 2013.
Dengan kombinasi aset tempur dan latihan yang seimbang, TNI-AU sedang membina ekosistem keupayaan udara yang lebih menyeluruh.
Ini termasuk perancangan masa depan seperti perolehan pesawat latihan/serangan Leonardo M-346F.
Bagaimana pun, sepertimana negara-negara serantau lain, program pemodenan aset TNI-AU tidak berlaku dalam sekelip mata.
Cuma, bezanya kepimpinan angkatan dan kerajaan dilihat konsisten dengan dasar yang ditetapkan selain iltizam kerajaan untuk mempunyai sebuah angkatan udara yang moden.
Memang benar Indonesia mempunyai wilayah yang besar dan pulau-pulau yang bertaburan, justeru ia perlu tampil kuat agar bersedia berdepan ancaman.
Jika dilihat dari perspektif serantau, perkembangan ini turut memberi cerminan kepada hala tuju Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bakal menyambut ulang tahun ke-68 pada 1 Jun nanti.
Walaupun berdepan kekangan sumber, TUDM tidak ketinggalan dalam anjakan dimensi baharu.
Seperti TNI-AU, TUDM juga sedang melalui proses pemodenan aset walaupun secara sederhana.
Paling ketara melalui pengoperasian sistem pesawat tanpa pemandu TAI ANKA-S yang meningkatkan keupayaan pengawasan dan risikan.
Tiga unit ANKA-S bersama peralatan sokongan berkaitan sebelum ini diperoleh kira-kira 3 tahun lalu dengan nilai melebihi RM400 juta.
Selain melaksanakan misi risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR), sistem ini turut berupaya membawa pelbagai muatan mengikut keperluan operasi.
Keupayaan tersebut menjadikan ANKA-S sebagai aset pelbagai peranan yang signifikan dalam operasi moden ketenteraan.
MINDEF juga dijangka menambah perolehan sistem ANKA-S pada masa hadapan bagi memperkukuh keupayaan pengawasan udara negara.
Aset berkenaan dilihat penting dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa yang semakin kompleks.
Selain itu, penerimaan pesawat tempur ringan KAI FA-50M Block 20 yang dijangka bermula tahun ini menandakan usaha berterusan memperkukuh kesiapsiagaan tempur negara.
Pada masa yang sama, pembangunan keupayaan radar pengawasan udara oleh TUDM memperlihatkan pendekatan menyeluruh dalam mempertahankan ruang udara negara.
Ini menunjukkan bahawa pemodenan bukan hanya bergantung kepada platform tempur semata-mata, tetapi juga kepada sistem sokongan seperti radar, komunikasi dan rangkaian pertahanan bersepadu.
Kesimpulannya, ulang tahun ke-80 TNI-AU dengan slogan ‘Pengabdian Tanpa Batas’ bukan sekadar perayaan, tetapi manifestasi transformasi strategik yang sedang berlaku.
Dalam konteks Asia Tenggara, pemodenan aset yang dilakukan oleh TNI-AU dan TUDM tidak dilihat sebagai perlumbaan, tetapi sebenarnya memperkukuh keseimbangan kuasa serantau.


