Rakan seangkatan di negara seberang, Tentara Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU) menyambut ulang tahun ke-80 dengan iltizam menjadi kuasa udara serantau.
Bukan sekadar simbolik sejarah penubuhan, tetapi mencerminkan anjakan dimensi baharu dalam pembinaan kekuatan udara serantau.
Dengan mengangkat slogan ‘Pengabdian Tanpa Batas’, TNI-AU memperlihatkan tekad untuk terus relevan dalam landskap keselamatan yang semakin kompleks.
Ia selari dengan visi TNI-AU AMPUH, iaitu gabungan akronim Adaptif, Moden, Profesional, Unggul dan Humanis.
Pendekatan ini bukan sahaja menekankan keupayaan tempur, malah keseimbangan antara kekuatan ketenteraan dan peranan kemanusiaan.
Dimensi baharu ini dizahirkan secara nyata melalui kemasukan aset strategik terkini ke dalam TNI-AU iaitu pesawat pejuang generasi 4.5, Dassault Rafale.
Pesawat Rafale juga ditonjolkan secara ketara pada poster rasmi sambutan HUT ini termasuk pada paparan video pasukan tersebut.
Semestinya TNI-AU mempunyai perasaan bangga apabila menjadi pengguna terbaharu pesawat tempur berkenaan.
Penerimaan tiga buah Rafale F4 pertama pada awal tahun ini menjadi simbol lonjakan keupayaan tempur udara Indonesia.
Ia hasil daripada kontrak keseluruhan sebanyak 42 buah pesawat bernilai kira-kira RM38 bilion.
AMPUH digambarkan secara jelas dan konsisten apabila Jakarta tampil berani melaksanakan pemodenan aset TNI-AU dengan mengeluarkan perbelanjaan besar.
Malah, perancangan untuk menambah sehingga 24 buah pesawat lagi mencerminkan komitmen jangka panjang Jakarta dalam memperkukuh dominasi udara.
Rafale bukan sekadar platform tempur, tetapi membawa keupayaan pelbagai peranan termasuk serangan darat, pertahanan udara dan operasi bersepadu berteknologi tinggi.
Rafale membarisi pesawat-pesawat sedia ada TNI-AU seperti F-16 dan Sukhoi SU27/30.
Dalam masa yang sama, pemodenan TNI-AU turut diperkuat melalui penerimaan pesawat latihan lanjutan KAI T-50i Golden Eagle baharu dari Korea Selatan.
Platform ini memainkan peranan penting sebagai ‘lead-in fighter trainer’, memastikan juruterbang bersedia mengendalikan pesawat tempur moden seperti Rafale.
TNI-AU lebih awal menjadi pengguna pesawat ini di rantau sebelah sini apabila membeli 16 buah pesawat pada tahun 2013.
Dengan kombinasi aset tempur dan latihan yang seimbang, TNI-AU sedang membina ekosistem keupayaan udara yang lebih menyeluruh.
Ini termasuk perancangan masa depan seperti perolehan pesawat latihan/serangan Leonardo M-346F.
Bagaimana pun, sepertimana negara-negara serantau lain, program pemodenan aset TNI-AU tidak berlaku dalam sekelip mata.
Cuma, bezanya kepimpinan angkatan dan kerajaan dilihat konsisten dengan dasar yang ditetapkan selain iltizam kerajaan untuk mempunyai sebuah angkatan udara yang moden.
Memang benar Indonesia mempunyai wilayah yang besar dan pulau-pulau yang bertaburan, justeru ia perlu tampil kuat agar bersedia berdepan ancaman.
Jika dilihat dari perspektif serantau, perkembangan ini turut memberi cerminan kepada hala tuju Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bakal menyambut ulang tahun ke-68 pada 1 Jun nanti.
Walaupun berdepan kekangan sumber, TUDM tidak ketinggalan dalam anjakan dimensi baharu.
Seperti TNI-AU, TUDM juga sedang melalui proses pemodenan aset walaupun secara sederhana.
Paling ketara melalui pengoperasian sistem pesawat tanpa pemandu TAI ANKA-S yang meningkatkan keupayaan pengawasan dan risikan.
Tiga unit ANKA-S bersama peralatan sokongan berkaitan sebelum ini diperoleh kira-kira 3 tahun lalu dengan nilai melebihi RM400 juta.
Selain melaksanakan misi risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR), sistem ini turut berupaya membawa pelbagai muatan mengikut keperluan operasi.
Keupayaan tersebut menjadikan ANKA-S sebagai aset pelbagai peranan yang signifikan dalam operasi moden ketenteraan.
MINDEF juga dijangka menambah perolehan sistem ANKA-S pada masa hadapan bagi memperkukuh keupayaan pengawasan udara negara.
Aset berkenaan dilihat penting dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa yang semakin kompleks.
Selain itu, penerimaan pesawat tempur ringan KAI FA-50M Block 20 yang dijangka bermula tahun ini menandakan usaha berterusan memperkukuh kesiapsiagaan tempur negara.
Pada masa yang sama, pembangunan keupayaan radar pengawasan udara oleh TUDM memperlihatkan pendekatan menyeluruh dalam mempertahankan ruang udara negara.
Ini menunjukkan bahawa pemodenan bukan hanya bergantung kepada platform tempur semata-mata, tetapi juga kepada sistem sokongan seperti radar, komunikasi dan rangkaian pertahanan bersepadu.
Kesimpulannya, ulang tahun ke-80 TNI-AU dengan slogan ‘Pengabdian Tanpa Batas’ bukan sekadar perayaan, tetapi manifestasi transformasi strategik yang sedang berlaku.
Dalam konteks Asia Tenggara, pemodenan aset yang dilakukan oleh TNI-AU dan TUDM tidak dilihat sebagai perlumbaan, tetapi sebenarnya memperkukuh keseimbangan kuasa serantau.
