Insiden tiga anggota pengaman Indonesia (INDOBATT) yang menjadi korban semasa melaksanakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mendukacitakan.
Insiden ini menjadi peringatan jelas bahawa pasukan pengaman tidak terkecuali daripada bahaya, walaupun berada di bawah panji keamanan PBB.
Indonesia menyumbang pasukan tentera pengaman terbesar di Lubnan dengan seramai 755 anggota.
Sebab itu harus kita ingat bahawa penugasan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) dalam misi UNIFIL bukanlah satu operasi rutin tanpa risiko.
Sebaliknya, ia adalah misi yang sejak awal lagi sarat dengan ancaman keselamatan yang tidak menentu.
MALBATT perlu bersedia berdepan risiko tersebut. Ini bukan hendak menundukkan semangat, tetapi realiti situasi yang sedang berlaku di Selatan Lubnan.
Sepertimana wira-wira pengaman negara di sana, rakyat di tanah air juga perlu bersedia untuk menerima sebarang khabar duka walaupun kita berdoa minta ia dijauhi.
Risiko kecelakaan sepertimana dialami pasukan pengaman INDOBATT boleh berlaku kepada pasukan-pasukan lain.
Ini berikutan perkembangan konflik terbaharu di selatan Lubnan sejak 2 Mac lalu sekali lagi membuktikan bahawa penugasan pengaman bukan sekadar simbol keamanan.
Mereka berdepan realiti peperangan yang boleh tercetus pada bila-bila masa.
Ketegangan meningkat apabila kumpulan bersenjata yang disokong Iran melancarkan serangan roket ke arah Israel, sebelum dibalas dengan serangan besar-besaran termasuk operasi darat oleh tentera Israel di wilayah selatan Lubnan.
Dalam situasi ini, anggota pengaman termasuk MALBATT berada dalam persekitaran operasi yang amat kompleks.
Mereka bukan sahaja berdepan risiko tembakan silang, malah ancaman tidak langsung seperti letupan, serpihan bom dan serangan tidak diketahui punca.
Laporan pihak berkuasa Lubnan yang menyatakan lebih 1,200 korban sejak konflik terbaru meletus menggambarkan tahap keganasan yang sedang berlaku.
Risiko ini bukan sekadar teori.
Peningkatan aktiviti ketenteraan dan serangan udara berhampiran kawasan operasi telah memaksa penghentian sementara rondaan, selaras dengan arahan UNIFIL.
Hakikatnya, risiko dalam misi UNIFIL telah wujud sejak penubuhannya pada tahun 1978.
Sepanjang tempoh itu, lebih 300 anggota pengaman PBB terkorban dalam usaha mengekalkan keamanan di wilayah bergolak tersebut.
Mandat UNIFIL sendiri telah beberapa kali disesuaikan mengikut perubahan konflik, termasuk perkembangan besar pada tahun 1982 dan 2000.
Malaysia menyertai misi ini dengan kesedaran penuh terhadap risiko yang bakal dihadapi.
Penugasan di selatan Lubnan bukan sekadar rondaan biasa, tetapi melibatkan pemantauan kawasan sensitif yang berpotensi menjadi zon konflik terbuka, khususnya melibatkan ketegangan antara Israel dan kumpulan bersenjata di wilayah berkenaan.
Walaupun keadaan keselamatan dilaporkan lebih stabil sejak 2007, provokasi dan insiden ketenteraan masih berlaku dari semasa ke semasa.
Ini menjadikan setiap penugasan MALBATT sebagai operasi berisiko tinggi yang memerlukan tahap kesiapsiagaan maksimum.
Insiden terdahulu pada November 2024 turut membuktikan bahawa ancaman boleh berlaku di luar jangka.
Enam anggota MALBATT 850-12 cedera akibat serpihan letupan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri ketika dalam perjalanan ke Kem Marakah.
Kejadian itu berlaku walaupun mereka berada dalam pergerakan logistik, bukan dalam operasi tempur.
Sejarah juga mengingatkan bahawa pengorbanan anggota pengaman Malaysia bukan sesuatu yang asing.
Dalam misi di Somalia pada 1993, Koperal Mat Aznan Awang gugur ketika mempertahankan rakan sepasukan dalam operasi menyelamat di Mogadishu.
Ini satu bukti bahawa misi pengaman tetap menuntut keberanian luar biasa dan kesediaan menghadapi risiko tertinggi.
Justeru, persepsi bahawa penugasan MALBATT di Lubnan adalah misi yang selamat atau sekadar “makan angin” adalah tidak tepat.
Hakikatnya, anggota yang dihantar ke sana memikul amanah besar negara dalam suasana yang tidak menentu, sambil berdepan kemungkinan terburuk.
Dalam konteks ini, rakyat Malaysia perlu memahami bahawa setiap anggota MALBATT yang berkhidmat di bumi Lubnan bukan sahaja menjalankan tugas antarabangsa, tetapi juga mempertaruhkan keselamatan diri demi keamanan sejagat.
Sokongan moral dan doa daripada tanah air menjadi antara kekuatan utama mereka.
Misi UNIFIL adalah lambang komitmen terhadap keamanan dunia, namun di sebalik itu tersembunyi risiko yang sentiasa mengintai.
Ia bukan sekadar tugas, tetapi satu pengorbanan yang menuntut kesiapsiagaan, keberanian dan keikhlasan yang tinggi daripada setiap anggota yang terlibat.


