Home GlobalAngka korban pengaman Indonesia meningkat kepada 3 orang

Angka korban pengaman Indonesia meningkat kepada 3 orang

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 31 MAC – Tiga anggota pengaman Indonesia disahkan maut dalam dua insiden berasingan di selatan Lubnan dalam tempoh 24 jam, menurut Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

UNIFIL dalam satu kenyataan baharu mengesahkan, dua lagi anggota pengaman terbunuh apabila satu letupan yang tidak diketahui puncanya memusnahkan kenderaan mereka berhampiran Bani Hayyan, semalam.

Menurut UNIFIL, seorang lagi anggota mengalami kecederaan parah manakala seorang lagi turut cedera dalam insiden tersebut.

“Ini merupakan insiden maut kedua dalam tempoh 24 jam. Tiada siapa sepatutnya terkorban ketika berkhidmat demi keamanan,” kata kenyataan itu.

Dalam insiden berasingan pada Ahad lepas, seorang anggota pengaman Indonesia maut selepas satu projektil meletup di dalam kawasan posisi UNIFIL berhampiran Adchit Al Qusayr. Seorang lagi anggota dilaporkan cedera parah dan kini dirawat di hospital.

UNIFIL memaklumkan, punca letupan dalam kedua-dua insiden masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan keadaan sebenar kejadian.

“Kami menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan dan rakan setugas anggota yang terkorban ketika menjalankan tugas demi keamanan. Kami juga mendoakan agar anggota yang cedera diberikan pemulihan segera,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, UNIFIL menegaskan bahawa semua pihak perlu mematuhi undang-undang antarabangsa serta memastikan keselamatan anggota dan aset PBB sentiasa terjamin.

“Tindakan menyerang pasukan pengaman merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701, serta boleh dianggap sebagai jenayah perang,” tegas kenyataan itu.

UNIFIL turut menegaskan bahawa konflik berterusan di kawasan tersebut telah mengorbankan terlalu banyak nyawa dan tidak mempunyai penyelesaian ketenteraan.

“Keganasan mesti dihentikan,” jelas kenyataan itu.

Insiden ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan anggota pengaman antarabangsa yang bertugas di kawasan konflik, khususnya di sepanjang Garisan Biru (Blue Line) di selatan Lubnan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply