Home GlobalIndonesia sahkan seorang pengaman UNIFIL INDOBATT maut, 3 cedera

Indonesia sahkan seorang pengaman UNIFIL INDOBATT maut, 3 cedera

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

​JAKARTA, 30 MAC – Kerajaan Indonesia mengecam keras insiden serangan artileri tidak langsung yang meragut nyawa seorang anggota pengaman negaranya yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Ahad lalu.

Kementerian Luar Negeri Indonesia (Kemlu RI) dalam satu kenyataan memaklumkan, serangan yang mengenai kedudukan kontinjen negara itu di kawasan Adchit Al Qusayr turut mengakibatkan tiga lagi anggota pengaman mereka tercedera.

​Kejadian berdarah itu dilaporkan berlaku ketika pertempuran sengit dan insiden berbalas tembakan antara tentera Israel dan kumpulan bersenjata di selatan Lubnan.

​Susulan tragedi tersebut, Jakarta menuntut agar satu siasatan yang menyeluruh dan telus dilaksanakan dengan kadar segera.

​”Indonesia mengecam keras insiden tersebut dan menggesa pelaksanaan siasatan yang menyeluruh serta telus.”

​”Setiap tindakan yang membahayakan nyawa anggota pengaman adalah tidak boleh diterima dan menjejaskan usaha bersama dalam menjaga keamanan dan kestabilan,” tegas kementerian itu dalam satu kenyataan rasmi.

​Pihak kementerian turut menekankan bahawa keselamatan kakitangan pengaman PBB wajib dihormati sepenuhnya oleh semua pihak selaras dengan undang-undang antarabangsa.

​Pada masa yang sama, kerajaan Indonesia sedang bekerjasama rapat dengan pihak UNIFIL bagi memastikan proses penghantaran pulang jenazah anggota yang terkorban dapat dilakukan segera. Rawatan perubatan terbaik juga sedang diusahakan untuk kesemua anggota yang tercedera.

​Dalam kenyataan yang sama, Jakarta mengambil pendirian untuk terus mengecam keras siri serangan ketenteraan Israel di selatan Lubnan.

​Indonesia menggesa semua pihak yang bertelagah agar menghormati kedaulatan serta integriti wilayah Lubnan, selain menamatkan serangan yang mengancam nyawa orang awam dan memusnahkan infrastruktur.

Negara tersebut turut mendesak agar krisis berkenaan diselesaikan melalui saluran diplomasi dan dialog bagi mengelakkan risiko ketegangan yang lebih buruk.

Pihak berkuasa Indonesia kini sedang berkoordinasi rapat dengan PBB dan akan terus memantau perkembangan situasi di zon konflik secara teliti.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply