WASHINGTON, 30 MAC – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi amaran Cuba akan menjadi “seterusnya” susulan operasi ketenteraan terhadap Iran.
Beliau meramalkan negara Caribbean itu akan gagal dalam tempoh yang singkat.
“Cuba akan menjadi negara seterusnya,” kata Trump kepada pemberita di atas pesawat Air Force One ketika dalam perjalanan ke Washington, DC pada Ahad.
Trump menyifatkan Cuba sebagai negara yang sedang bergelut dengan krisis dalaman serta berada dalam keadaan kucar-kacir.
Menurutnya, situasi semasa menunjukkan negara itu berada di ambang kegagalan.
“Ia adalah negara yang gagal, dan mereka akan menjadi negara seterusnya. Dalam tempoh yang singkat, ia akan gagal, dan kami akan berada di sana untuk membantunya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Trump berkata Amerika Syarikat tidak mempunyai halangan terhadap penghantaran minyak ke Cuba, termasuk oleh Rusia.
Kenyataan itu dibuat ketika diminta mengulas laporan media antarabangsa mengenai kapal tangki Rusia menuju ke negara berkenaan.
“Kami tidak kisah jika seseorang menghantar minyak. Mereka perlu terus hidup,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan langkah itu tidak akan memberi kelebihan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin. Malah, Trump berpendapat bantuan sedemikian tidak akan mengubah keadaan Cuba yang disifatkannya sebagai sudah “berakhir”.
“Dia kehilangan satu bot minyak. Itu sahaja. Tidak mengapa. Jika dia mahu berbuat demikian dan jika negara lain mahu melakukannya, ia tidak begitu mengganggu saya. Ia tidak akan memberi impak, Cuba sudah berakhir.” Katanya.
Dalam pada itu, Trump menyifatkan kepimpinan Cuba sebagai lemah dan korup. Menurutnya, sama ada negara itu menerima bekalan minyak atau tidak, ia tidak akan memberi impak.
Tambah beliau, keutamaan ketika ini adalah memastikan rakyat Cuba mendapat keperluan asas seperti tenaga dan penyejukan. -airtimes.my
