Dalam dunia pertahanan moden, aset ketenteraan yang jatuh ke tangan lawan bukan lagi sekadar serpihan besi, enjin dan litar yang rosak. Di tangan jurutera, saintis dan penganalisis teknologi, ia boleh menjadi bahan kajian bernilai untuk memahami kekuatan, kelemahan serta logik reka bentuk sesuatu sistem.
Antara kisah paling terkenal ialah insiden RQ-170 Sentinel yang jatuh ke tangan Iran pada Disember 2011. Bagi Amerika Syarikat, ia merupakan kehilangan aset sensitif. Namun bagi Iran, kejadian itu membuka ruang untuk meneliti reka bentuk, susun atur dan kemungkinan logik teknologi sebuah dron halimunan yang sebelum ini sukar dicapai oleh industrinya.
Daripada kejadian tersebut, muncul Shahed 171, dron Iran yang sering dikaitkan dengan reka bentuk RQ-170. Namun, nilai sebenar konflik ini bukan hanya pada persamaan bentuk kedua-dua dron itu.
Persoalan yang lebih utama ialah sejauh mana teknologi asalnya dapat difahami, dibangunkan semula dan disesuaikan dengan kemampuan tempatan.
RQ-170 dan nilai sebuah aset yang jatuh
Lockheed Martin RQ-170 Sentinel ialah sistem pesawat tanpa pemandu dengan ciri pemerhatian rendah, atau sukar dikesan radar, yang dibangunkan untuk misi perisikan, pengawasan dan peninjauan. Antara ciri paling menonjol platform ini ialah reka bentuk sayap terbang, iaitu konfigurasi yang lazim dikaitkan dengan usaha mengurangkan pantulan radar.
Ciri inilah yang menjadikan kejatuhan RQ-170 ke tangan Iran pada Disember 2011 begitu signifikan. RQ-170 bukan sekadar dron biasa, tetapi aset sensitif yang membawa nilai perisikan, teknologi dan simbolik kepada kedua-dua pihak. Bagi Amerika Syarikat, insiden itu menimbulkan persoalan tentang keselamatan operasi aset canggih. Namun bagi Iran, ia membuka peluang untuk meneliti sistem yang sebelum itu berada di luar jangkauan industrinya.
Iran mendakwa dron itu berjaya dibawa turun melalui kaedah peperangan elektronik dan manipulasi navigasi. Namun, dakwaan ini masih perlu dilihat secara berhati-hati kerana punca sebenar insiden tersebut tidak dapat disahkan sepenuhnya melalui sumber terbuka. Ada kemungkinan ia melibatkan gangguan elektronik, kegagalan teknikal atau gabungan beberapa faktor.
Apa pun puncanya, nilai strategik RQ-170 kepada Iran bukan hanya terletak pada badan pesawat. Platform itu boleh memberi ruang kepada jurutera Iran untuk mengkaji susun atur, bahan, reka bentuk aerodinamik dan kemungkinan seni bina sistem yang digunakan pada dron tersebut.
Maka, persoalan utama bukan sekadar bagaimana RQ-170 jatuh ke tangan Iran. Melainkan sejauh mana Iran benar-benar dapat mengekstrak nilai teknikal daripada aset itu selepas ia berada dalam kawalannya.

RQ-170 Sentinel menjadi simbol bagaimana aset halimunan yang jatuh ke tangan lawan boleh berubah menjadi sumber pembelajaran teknologi. Foto: U.S Air Force
Kejuruteraan balikan bukan sekadar meniru rupa bentuk
Seperti yang diketahui, kejuruteraan balikan ialah usaha memahami sesuatu teknologi dengan melihat bagaimana ia dibina, berfungsi serta digunakan. Dalam kes RQ 170, Iran menggunakan pendekatan ini selepas dron risikan Amerika Syarikat itu jatuh ke tangannya pada 2011.
Daripada dron tersebut, Iran cuba menganalisis reka bentuknya, termasuk bentuk badan serta konfigurasi sayap terbang. Daripada situlah Tehran membangunkan beberapa dron yang mirip RQ 170, seperti Shahed 171.
Namun, meniru bentuk tidak bermakna semua keupayaan asal boleh disalin sepenuhnya. RQ 170 bukan sekadar pesawat tanpa pemandu dengan sayap, badan serta enjin. Di dalamnya ada sistem kawalan, sensor, navigasi, komunikasi serta bahan khas yang menentukan keupayaan sebenar dron itu.
Ini perbezaan penting yang perlu difahami oleh warga pertahanan. Iran boleh mengukur saiz RQ 170, meneliti bentuknya serta mengkaji susun atur sayap terbangnya. Tetapi itu tidak bermaksud Tehran terus memperoleh kod perisian, algoritma kawalan penerbangan, teknologi halimunan atau prestasi sensor sebenar Amerika Syarikat.
Dalam teknologi pertahanan, rupa yang sama belum tentu membawa kemampuan yang sama. Dua dron boleh nampak serupa dari luar, tetapi prestasinya boleh jauh berbeza jika bahan, perisian, sensor serta kaedah pembuatannya tidak setara.
Sebab itu Shahed 171 lebih sesuai dilihat sebagai hasil pembelajaran Iran daripada RQ 170. Ia menunjukkan Tehran berjaya mengambil keuntungan daripada teknologi yang jatuh ke tangannya. Namun, ia bukan bukti mutlak bahawa Iran berjaya menyalin keseluruhan teknologi Amerika Syarikat.
Shahed 171 dalam ekosistem dron Iran
Walaupun Shahed 171 Simorgh sering dikaitkan dengan RQ-170 kerana bentuk luaran dan sejarah kelahirannya. Iran turut membangunkan beberapa varian lain yang dikaitkan dengan keluarga dron ini, termasuk platform lebih kecil yang dikatakan sesuai untuk misi serangan dan pengawasan.
Selain itu, kewujudan dron ini menunjukkan bahawa Iran tidak hanya menggunakan insiden RQ-170 sebagai bahan propaganda. Ia juga menjadi sebahagian daripada ekosistem dron yang lebih luas, melibatkan institusi ketenteraan, syarikat pertahanan, jurutera tempatan dan pendekatan pembangunan berasaskan kekangan.
Bagi negara yang berdepan sekatan teknologi, kejuruteraan balikan boleh menjadi jalan pintas untuk memahami sistem lawan. Ia tidak semestinya menghasilkan salinan sempurna, tetapi boleh mempercepat pembelajaran, mengurangkan masa percubaan dan membantu pembangunan platform tempatan.
Dalam konteks Iran, nilai terbesar Shahed 171 mungkin bukan pada dakwaan bahawa ia setara dengan RQ-170. Tetapi dron ini menjadi bukti keupayaan Tehran menggunakan aset yang dirampas sebagai sumber pembelajaran teknologi dan naratif kemandirian industri pertahanan.

Daripada RQ-170 yang jatuh ke tangan Iran, Tehran membangunkan keluarga dron sayap terbang yang menjadi simbol nilai kejuruteraan balikan dalam dunia ketenteraan. Foto: Reddit
Pengajaran kepada dunia pertahanan
Insiden RQ 170 memberi pengajaran besar kepada dunia pertahanan. Apabila aset canggih jatuh ke tangan lawan, ia bukan lagi sekadar kehilangan fizikal. Malah, aset itu boleh menjadi bahan rujukan, bahan kajian serta titik mula kepada pembangunan teknologi baharu.
Dalam perlumbaan senjata moden, kelebihan teknologi tidak lagi bersifat kekal. Ia hanya memberi kelebihan sementara sebelum pihak lawan memahami, menyesuaikan teknologi itu, lalu mencari jalan untuk menandinginya.
Sebab itu perlindungan aset hari ini tidak boleh bergantung kepada kawalan fizikal semata mata. Ia juga perlu mengambil kira keselamatan perisian, kekuatan enkripsi, perlindungan data serta reka bentuk sistem yang sukar diekstrak.
Shahed 171 akhirnya bukan sekadar cerita tentang sebuah dron yang mirip RQ 170. Ia menjadi simbol bagaimana sebuah negara boleh menukar insiden keselamatan kepada peluang pembelajaran. Pada masa sama, ia mengingatkan dunia bahawa teknologi yang jatuh ke tangan lawan boleh menjadi permulaan kepada cabaran strategik yang baharu.-airtimes.my

