Teknologi ketenteraan adalah teknologi untuk digunakan dalam peperangan. Ia terdiri daripada jenis teknologi yang bersifat ketenteraan dan bukan awam dalam perlaksanaan.
Pada Sabtu lalu, kapal induk Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) USS ABRAHAM LINCOLN (CVN-72) telah selamat tiba dan berlabuh di Terminal Cruise Perlabuhan Klang.
Kedatangan kapal induk kelas Nimitz ke-5 itu disifatkan satu detik bersejarah. Kali terakhir kapal induk US Navy berlabuh di negara ini adalah pada 12 tahun lalu.
Namun, untuk pertama kalinya, ia membuka peluang kepada pengamal media untuk melawat dan menyaksikan sendiri pengoperasian kapal berkenaan.
Dalam lawatan ini, seramai 16 petugas media diberi akses eksklusif untuk meneroka beberapa kawasan utama kapal seperti Hangar Bay, Flight Deck dan Navigation Bridge, masing-masing menawarkan pengalaman yang cukup menarik.
Antara yang hadir termasuk wartawan Air Times, Anis Suraya bersama jurukamera Muhammad Izzat.
Hangar Bay: Pusat penyelenggaraan pesawat
Salah satu kawasan utama yang dilawati adalah hangar bay iaitu kawasan di mana pesawat dan helikopter yang beroperasi di atas kapal ini diselenggara dan disiapkan sebelum kembali berkhidmat.
Hangar bay ini sangat luas. Ia diawasi selama 24 jam oleh petugas kapal serta menjadi lokasi pengisian bahan bakar ke dalam badan pesawat.
Pengalaman di kawasan ini memberi gambaran betapa canggihnya teknologi yang digunakan untuk menguruskan pesawat-pesawat besar seperti penggunaan lif hidraulik untuk memindahkan pesawat dari hangar bay ke flight deck.
Flight Deck: Pendaratan dan pelepasan pesawat.
Kemudian, petugas media dibawa ke flight deck dengan menaiki tangga. Di sinilah tempat pesawat mendarat dan berlepas menggunakan sistem ‘catapult’ yang mampu melancarkan pesawat dalam tempoh 20 hingga 30 saat.
Kapal ini mempunyai empat sistem catapult dan setiap satunya berukuran panjang satu padang bola sepak. Ia mampu melancarkan sekitar 70 buah pesawat dalam masa 15 minit.
Menariknya, kapal induk ini bukan sahaja mampu mengoperasikan pelepasan dan pendaratan pesawat secara serentak malah mampu menampung antara 60 hingga 70 pesawat termasuk jet pejuang moden seperti F-35Charlie serta pesawat pengawasan E-2D Hawkeye.
Navigation Bridge: Pusat kawalan utama kapal
Akhirnya, lawatan diteruskan ke Navigation Bridge, iaitu kawasan pusat kawalan utama. Dari sini, semua pergerakan kapal diselia menggunakan sistem navigasi canggih seperti radar dan alat pemantau lainnya.
Untuk makluman, USS ABRAHAM LINCOLN (CVN 72) merupakan salah satu daripada 11 kapal pengangkut milik Amerika Syarikat (AS).
Kapal gergasi ini tiba di Pelabuhan Klang pada 23 November lalu sebagai sebahagian daripada lawatan pelabuhan berjadual kedua sepanjang penugasannya pada tahun 2024.
Walaupun kunjungan ini singkat, kesediaan Tentera Laut AS untuk menerima lawatan pengamal media mencerminkan hubungan erat antara dua buah negara, khususnya dalam aspek kerjasama dan diplomasi ketenteraan .
Kunjungan ini bukan sahaja membuka peluang kepada petugas media untuk memahami operasi kapal induk canggih ini dengan lebih mendalam, malah menawarkan pengalaman yang amat berharga.
Dalam perkembangan lain, USS ABRAHAM LINCOLN, yang merupakan antara ketumbukan utama US Navy telah menamatkan lawatan bersejarahnya di Malaysia pada 27 November 2024. -airtimes.my
#USSABRAHAMLINCOLN #Pertahanan #Malaysia #Airtimes