LAOS, 19 NOV – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Vientiane, Lao PDR hari ini bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-18 dan ADMM-Plus ke-11.
Mohamed Khaled memaklumkan bahawa beliau akan terus membawa isu, pandangan dan pendirian Malaysia dalam soal pertahanan semasa mesyuarat dan pertemuan ini berlangsung.
“Dalam masa sama, kami akan membuat persediaan untuk mengambil alih Kepengerusian ASEAN dari Lao PDR pada tahun hadapan.
“Ruang semasa ADMM dan ADMM Plus ini juga akan gunakan untuk mengadakan pertemuan bilateral bersama beberapa rakan sejawat dan pemimpin tertinggi dari Lao PDR, Thailand, India, China, New Zealand, Rusia dan Sekretariat ASEAN,” katanya pada Selasa.
Ujarnya lagi, semasa ADMM dan ADMM-Plus akan turut berlangsungnya Commemorative Ceremony of 50th Anniversary of ASEAN-Australia dan 35th Anniversary of ASEAN-Republic of Korea Dialogue Relations, dan ASEAN-China dan ASEAN-US Defence Ministers’ Informal Meeting.
Manakala, pada hari terakhir juga akan berlangsungnya Chairmanship Handover Ceremony kepada Malaysia sebagai simbolik serahan tugas Pengerusi ADMM dan ASEAN tahun hadapan.
“Ketibaan saya di Laos disambut oleh Chief General Technical Department, Lao People’s Army, Brigedier Gen. Chomphet Xayasouk, dan Duta Besar Malaysia ke Lao PDR, TYT Edi Irwan Mahmud,” katanya. -airtimes.my
#Pertahanan #ADMM #Malaysia #airtimes #khaled