KUALA LUMPUR, 18 DIS – Pelan perolehan jet pejuang F/A-18 Hornet Kuwait untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih berdepan dengan ketidaktentuan. Ini berikutan Negara Teluk itu masih belum mendapat F/A-18 Super Hornet.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris TUDM di Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Menurut beliau, perkara itu dikenal pasti hasil lawatan kerja beliau ke Kuwait.
Norazlan menjelaskan bahawa hasrat Malaysia untuk mendapatkan pesawat F/A-18 Hornet Kuwait telah disuarakan sejak 2017. Namun pelaksanaannya bergantung sepenuhnya kepada penerimaan pesawat F/A-18 Super Hornet baharu oleh Kuwait, yang kontraknya ditandatangani pada 2016.
“Ketetapan pihak Kuwait ialah pesawat F/A-18 sedia ada hanya boleh dipertimbangkan untuk diserahkan 12 hingga 18 bulan selepas mereka menerima Super Hornet,” kata Panglima Tentera Udara yang menjelaskan bahawa Kuwait masih mendapat tarikh masa sebenar penerimaan F/A-18 Super Hornet.
Perolehan F/A-18 Hornet Kuwait merupakan sebahagian daripada pilihan opsyenal dalam Pelan Perancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2025 (CAP55).
Perkembangan baharu yang dinyatakan oleh Panglima Tentera Udara sudah tentu menunjukkan bahawa TUDM perlu membuat satu keputusan yang tepat.
Mengulas lanjut, Norazlan menyatakan TUDM telah merancang untuk mengoperasikan F/A-18 sedia ada sehingga sekitar 2035 sebelum beralih kepada penggantian pesawat Multirole Combat Aircraft (MRCA).
Selain itu, Panglima Tentera Udara menyatakan TUDM hanya boleh mengoperasikan F/A-18 Hornet Kuwait selepas 15 bulan dari masa penerimaan. Beliau menjelaskan bahawa ianya berdasarkan makluman dari pihak Amerika Syarikat yang menjelaskan bahawa pesawat tersebut tidak boleh diterbangkan secara terus sekiranya diperoleh, kerana memerlukan pengubahsuaian perisian yang mengambil tempoh sekitar 15 bulan.
“Ini bermakna walaupun pesawat diterima, kita masih belum boleh mengoperasikannya serta merta. Faktor masa, kos dan kebolehsokongan jangka panjang perlu dinilai secara sangat teliti,” katanya.
Menurut beliau, walaupun F/A-18 Hornet diakui sebagai pesawat yang berkeupayaan, keputusan perolehan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana sebarang kesilapan akan memberi implikasi jangka panjang kepada Angkatan Tentera Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa TUDM tidak mahu membuat keputusan yang akhirnya menghantui organisasi dari sudut operasi, kewangan dan keupayaan pertahanan negara pada masa hadapan.
Dalam masa yang sama, Jeneral Muhamad Norazlan memaklumkan bahawa TUDM mempunyai pelan alternatif sekiranya perolehan F/A-18 Kuwait tidak dapat direalisasikan.
“Pelan B kita ialah pesawat FA-50. Berdasarkan perbincangan saya bersama Korea Aerospace Industries, enam buah pesawat pertama dijangka siap menjelang hujung tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata, penyerahan pesawat FA-50 akan bermula pada 2027 dan melibatkan keseluruhan 18 buah pesawat seperti yang telah dirancang sebelum ini.
Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan program MRCA akan dipercepatkan sekiranya jumlah pesawat sedia ada dan FA 50 didapati masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan operasi TUDM.
“Semua ini perlu dinilai dengan teliti, termasuk keupayaan kewangan negara,” katanya. – airtimes.my
