KOTA KINABALU, 26 SEPT – Program Jelajah Wira Madani yang diadakan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu hari ini menekankan keseimbangan antara kesiagaan aset pertahanan negara dan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, konsep Jelajah Wira Madani adalah inisiatif kerajaan bagi menzahirkan penghargaan kepada pengorbanan anggota tentera, di samping memastikan kesiapsiagaan aset ketenteraan sentiasa berada pada tahap optimum.
“Pertahanan negara tidak hanya bergantung kepada keupayaan aset dan operasi semata-mata, malah turut bergantung kepada kesejahteraan anggota serta keluarga mereka. Kesiagaan dan kebajikan adalah dua asas utama yang perlu digerakkan seiring,” katanya ketika berucap pada program tersebut.
Sempena lawatan itu, Mohamed Khaled menyampaikan bantuan persekolahan kepada 662 pelajar di Sekolah Kebangsaan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu serta menyerahkan replika cek bernilai RM25,000 kepada pihak sekolah. Beliau turut menyampaikan bantuan kecemasan kepada 15 anggota ATM yang terjejas akibat bencana banjir di Sabah baru-baru ini.
Selain itu, Tabung Kecemasan Bencana Alam ATM menerima sumbangan berjumlah RM400,000 daripada 11 syarikat termasuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan anak-anak syarikatnya, yang diserahkan kepada Markas ATM sebagai tanda sokongan kepada kebajikan warga tentera.
Dalam usaha meningkatkan taraf hidup keluarga anggota, Mohamed Khaled meninjau projek Hidroponik Sifar Karbon Pintar di bawah Program Ekonomi Madani dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS). Projek berjumlah RM60,000 itu disertai 10 ahli BAKAT TLDM dan dijangka menghasilkan pendapatan sampingan kepada peserta.
Menteri Pertahanan turut menekankan kepentingan Sabah sebagai negeri strategik dalam aspek pertahanan negara kerana kedudukannya yang bersempadan dengan Filipina, Indonesia dan Laut China Selatan. Beliau melawat Markas Angkatan Kapal Selam serta kemudahan sokongan TLDM bagi menilai tahap kesiagaan armada timur.
“Segala usaha ini adalah jaminan bahawa Kementerian Pertahanan memberi perhatian bukan sahaja kepada aspek pertahanan dan keselamatan, tetapi juga kepada kesejahteraan dan kebajikan anggota tentera serta keluarga mereka,” katanya.
– airtimes.my
