Setiap kali menjelang 10 Zulhijjah, umat Islam di seluruh dunia menyambutnya dengan laungan takbir dan tahmid yang menyentuh kalbu.
Di Malaysia, Aidiladha terlalu sinonim dengan kelibat perantau yang berpusu-pusu pulang ke kampung halaman, kemeriahan ibadah korban yang menyatukan komuniti serta ruang waktu berharga untuk keluarga kembali berkumpul.
Namun, ketika kita selesa merancang cuti, menyusun perjalanan dan menanti saat bersama insan tersayang, kita acap kali terlepas pandang satu realiti yang berbeza sama sekali.
Realiti itu melibatkan sekumpulan rakyat Malaysia yang terpaksa melupakan erti rehat demi memastikan kita semua dapat meraikan perayaan ini dengan aman.
Ibadah korban itu sendiri menuntut kita menghayati makna pengorbanan suci demi sesuatu tujuan yang lebih besar. Bagi anggota barisan hadapan negara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sehinggalah kepada petugas kesihatan, pengorbanan ini bukan sekadar ritual tahunan.
Tidak dilupakan juga golongan yang memikul tanggungjawab dalam sektor-sektor penting lain bagi memastikan kehidupan seharian masyarakat Malaysia tidak terjejas.
Bagi anggota beruniform, khususnya ATM, pengorbanan sebegini bukan perkara kecil. Mereka menterjemahkan darah, keringat dan sumpah setia ke dalam bentuk tindakan setiap hari. Hakikatnya, tuntutan tugas mereka menjadi lebih berat dan kritikal tatkala musim perayaan tiba.
Bagi masyarakat awam, musim perayaan bermaksud waktu untuk melepaskan lelah dan kembali ke pangkuan keluarga. Tetapi bagi pasukan keselamatan, saat ini menuntut tahap kesiapsiagaan yang lebih tinggi.
Peningkatan jutaan kenderaan di jalan raya utama, kepulangan besar-besaran warga kota dan kepadatan di kawasan tumpuan awam secara langsung meningkatkan risiko keselamatan.
Di bawah terik matahari dan hujan lebat, anggota PDRM berdiri teguh mengawal lalu lintas, meronda kawasan perumahan yang ditinggalkan penghuni serta memastikan penjenayah tidak mengambil kesempatan. Ketika kita sedang menjamah juadah raya, mereka mungkin hanya sempat meneguk air mineral di tepi jalan yang sesak selepas berjam-jam mengatur trafik yang tidak berkesudahan.
Lebih jauh dari pandangan masyarakat, di garis sempadan darat yang tebal dengan hutan belantara serta di perairan negara, tugas mempertahankan kedaulatan tidak pernah mengenal kalendar cuti umum.
Ancaman keselamatan tidak berhenti hanya kerana rakyat sedang menyambut perayaan. Penyeludupan, pencerobohan, jenayah rentas sempadan dan pelbagai bentuk ancaman lain tetap memerlukan pemantauan berterusan, sama ada kita sedar atau sebaliknya.
Realiti sebegini perlu diakui oleh semua rakyat Malaysia. Ia menuntut anggota tentera serta agensi penguatkuasaan untuk terus bergelap di sempadan tanah air, menahan rindu terhadap keluarga yang menanti di rumah, dan memikul amanah ketika orang lain sedang menikmati hari raya.
Keamanan yang membolehkan kita tidur lena pada malam raya sebenarnya dibayar oleh mata yang tidak lelap di perbatasan. Operasi mereka tidak bermusim. Ia diperkemas dan diperhebatkan kerana musuh negara sentiasa mencari ruang kelompongan tatkala kita sedang alpa bergembira.
Di sudut lain pula, barisan penyelamat dan perubatan negara terus memikul beban emosi serta fizikal yang amat berat.
Setiap musim perayaan membawa peningkatan risiko kemalangan jalan raya dan insiden kecemasan, khususnya apabila jutaan rakyat bergerak pulang ke kampung halaman. Bunyi siren ambulans dan jentera bomba yang membelah kesunyian pagi raya adalah petunjuk bahawa ada yang sedang bertarung nyawa, dan ada wira yang sedang menggadai keselamatan diri untuk menyelamatkan mangsa.
Di wad kecemasan hospital, suasana panik dan tekanan kerja boleh berada pada tahap kemuncak. Petugas kesihatan, daripada doktor pakar hinggalah jururawat, berhadapan dengan realiti kematian dan kecederaan kritikal ketika suasana di luar masih bergema dengan lagu raya.
Tangan yang sepatutnya bersalaman memohon kemaafan daripada ibu bapa di kampung terpaksa digunakan untuk menghentikan pendarahan pesakit yang langsung tidak mereka kenali. Inilah harga sebuah tanggungjawab yang jarang kita hargai sepenuhnya.
Pada hari yang mulia ini, wajar kita mencetuskan satu persoalan dalam benak minda. Adakah kita sebagai rakyat Malaysia benar-benar menginsafi pengorbanan wira negara ini? Atau adakah kita sekadar memandang mereka sebagai entiti yang memang sudah dibayar gaji untuk melakukan kerja tersebut?
Keselesaan, keamanan dan kelancaran hidup yang kita nikmati hari ini bukanlah satu kebetulan. Ia adalah hasil kerja keras sebuah ekosistem barisan hadapan yang digerakkan oleh insan-insan yang sanggup meletakkan sumpah kepada negara mengatasi keselesaan peribadi.
Ada yang mempertaruhkan nyawa, keselamatan dan maruah demi memastikan misi yang diamanahkan dapat dilaksanakan. Ada yang menangguhkan kepulangan ke kampung. Ada yang hanya mampu menatap wajah anak melalui panggilan video. Ada yang menyambut pagi raya di pos kawalan, di balai, di hospital, di jentera bomba, di kapal ronda, di pangkalan hadapan dan di jalan raya yang masih belum reda kesesakannya.
Keamanan dan kesenangan yang kita nikmati hari ini bukan sesuatu yang percuma. Rasa empati dan keinsafan merupakan antara cara paling sederhana untuk kita menghargai pengorbanan mereka. Tanpa kedua-dua sifat ini, kita mudah menganggap segalanya hadir begitu sahaja.
Sudah menjadi lumrah manusia untuk benar-benar menghargai sesuatu hanya setelah ia hilang. Namun dalam soal keselamatan negara, kita tidak seharusnya menunggu kehilangan sebelum belajar menghargai.
Sempena Aidiladha ini, sudah tiba masanya untuk kita menganjakkan pemikiran. Di saat kita berhari raya, luangkanlah sejenak waktu dalam sanubari untuk mensyukuri titisan peluh insan yang sedang berkawal di sempadan, berpanas di jalanan, bersiap di balai, bertugas di laut, merawat di hospital dan mempertaruhkan keselamatan diri demi orang lain.
Pengorbanan pada hari raya ini bukan sekadar tentang kemampuan menumbangkan haiwan ternakan. Ia juga tentang keupayaan menyerahkan masa, tenaga, rindu dan nyawa demi kedaulatan pertiwi serta kesejahteraan masyarakat.
Kepada semua wira barisan hadapan negara yang sering tidak didendang, keamanan dan kesenangan yang kami nikmati hari ini adalah berkat pengorbanan anda.
Salam Aidiladha.-airtimes.my



