Home Pertahanan dan Keselamatan Kompleks Markas Angkatan Bersama bakal dinamakan Kem Al-Sultan Abdullah

Kompleks Markas Angkatan Bersama bakal dinamakan Kem Al-Sultan Abdullah

by Nurulhuda

KUANTAN, 17 Jul – Kompleks Markas Angkatan Bersama (MK AB) yang diwujudkan untuk mengendalikan tugas berdasarkan konsep bersama dalam 3 perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal dinamakan sebagai Kem Al-Sultan Abdullah dalam masa terdekat.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad TUDM berkata, majlis penamaan kompleks MK AB itu akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dijadualkan pada 26 Julai ini.

“Pada 26 Julai yang akan datang, markas ini bakal mencatatkan satu lagi titik sejarah yang istimewa apabila Majlis Penamaan Kompleks MK AB kepada Kem Al- Sultan Abdullah akan dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,

“Majlis yang bersejarah ini akan menjadi detik terindah dan akan dikenang sampai bila-bila. Penamaan kem ini dengan mengadaptasikan nama seorang ketua negara tentulah mencerminkan tahap profesionalisma dan kemampuan MK AB dalam memikul amanah dan berbakti kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ke-15 yang diaadakan di Kompleks MK AB di Jalan Panching pada Jumaat lalu.

Jelasnya, MK AB juga berperanan untuk menyelaraskan keperluan penglibatan ATM di dalam operasi dan misi pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Konsep Assigned Force memberi penekanan kepada sokongan terhadap semua operasi dan eksesais bersama dengan meletakkan komponen-komponen tempur setiap perkhidmatan di bawah pemerintahan serta kawalan operasi Panglima Angkatan Bersama (PAB),

“Manakala tugas raise, train and sustain kekal di bawah tanggungjawab setiap perkhidmatan. Secara amnya trup dan aset perkhidmatan ditugaskan (assigned) berdasarkan keperlan keselamatan atau ancaman situasi semasa mengikut sistem pusingan yang termaktub di dalam perkhidmatan masing-masing,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Yazid menjelaskan, sejak penubuhannya, MK AB telah berjaya mengharugi pelbagai cabaran terutamanya ketika pandemik COVID-19 melanda negara.

“Sesungguhnya kejayaan yang kita kecapi selama ini, adalah berkat kegigihan dan iltizam semua warga MK AB yang digarap berlandaskan semangat berjuang bersama,

“Kejayaan ini termasuklah kontijen MALBATT 850-8 yang mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang semerlang sehingga mendapat pengiktirafan daripada Markas UNIFIL,

“MK AB juga telah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan Hospital Medan ATM di Cox’s Bazaar, Bangladesh, melalui Ops Starlight yang mula beroperasi sejak Mac 2018 sehingga Mac 2020,

“Tim Pemantau Antarabangsa – Mindanao 16 yang telah selamat pulang dan disambut di Pangkalan Udara Subang pada 30 Jun 22 lalu juga menjadi kejayaan yang membanggakan buat markas ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, Yazid berharap warga MK AB akan meneruskan usaha berjuang bersama demi mencapai misi dan visi yang telah diamanahkan untuk menjadi sebuah pemerintahan Angkatan Bersama yang kredibel dengan berkeupayaan mengatur serta menyelaras operasi termasuk latihan bersama.

“Manakala misi MK AB adalah melaksanakan operasi bersama dengan efektif untuk mendukung peranan utama kewujudan ATM sebagai benteng pertahanan negara dan sentiasa siaga demi melindungi kedaulatan dan integriti negara,

“Misi ini memerlukan MK AB mengatur langkah-langkah strategik yang proaktif demi memastikan keupayaan dan kesiagaan operasi bersama pada tahap tertinggi serta responsif terhadap sebarang ancaman,

“Justeru, keberkesanan pengoperasian bersama dan objektif misi tugasan bersama dapat tercapai,: tegasnya.

Sebelum ini, bangunan pejabat MK AB adalah di dalam Kem Kementerian Pertahanan (Kementah), Kuala Lumpur dan telah dipindah secara berperingkat ke lokasi Sungai Panching.

Markas ini telah beroperasi sepenuhnya di Kompleks MK AB yang baru pada 1 Julai 2019. -airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply