KUALA LUMPUR, 24 Jan – Kerajaan bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus dari kadar biasa sempena Tahun Baharu Cina 2025 yang akan disambut minggu hadapan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet yang diadakan pagi tadi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, inisiatif itu akan bermula 12.01 tengah malam 27 Januari (Isnin) dan berakhir 11.59 malam keesokannya (Selasa) bagi kenderaan persendirian kelas satu sahaja.
“Pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan oleh kerajaan bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023,
“Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol percuma Musim Perayaan dari tahun 2023 hingga 2024,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pemberian itu bagaimanapun hanya untuk kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) LebuhrayaUtara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Tambahnya, implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada Syarikat konsesi Tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.
“Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024,
“Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan,” jelasnya lagi.
Pada Selasa lalu, Nanta Linggi berkata, dasar pemberian tol percuma untuk semua perayaan utama tidak akan diteruskan bermula tahun ini termasuk bagi sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Ujarnya, kerajaan sedang merancang pendekatan subsidi yang lebih bersasar untuk membantu rakyat Malaysia khususnya yang berpendapatan rendah dengan perinciannya akan diumumkan dalam masa terdekat.-airtimes.my
#semasa #Malaysia #airtimes #tol #diskaun
