Home Semasa Tiada lagi tol percuma sempena musim perayaan bermula tahun ini

Tiada lagi tol percuma sempena musim perayaan bermula tahun ini

by Suraya Aziz

KLANG, 21 JAN 2025 – Kerajaan memutuskan untuk tidak lagi memberikan pengecualian tol sempena musim perayaan bermula tahun 2025 ini. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan, keputusan ini telah dibuat dalam mesyuarat kabinet pada tahun lalu, sekali gus menjadikan tahun 2024 sebagai tahun terakhir rakyat menikmati tol percuma semasa perayaan.

“Akan kita umumkan dalam masa terdekat. Tahun lalu kerajaan memutuskan tahun 2024 adalah tahun terakhir pemberian tol percuma di musim perayaan,

“Jika ikut keputusan itu tiada pemberian tol percuma tetapi kalau ada, mungkin pertimbangan lain akan dibincangkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika berucap dalam sidang media sempena Majlis Pembukaan Seksyen 2, Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dari Persimpangan Bertingkat SKVE ke Persimpangan Bertingkat SAE, pada Selasa.

Ujar Alexander, kerajaan kini sedang merancang pendekatan subsidi yang lebih bersasar untuk membantu rakyat Malaysia khususnya yang berpendapatan rendah dengan perinciannya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Keputusan ini secara langsung bermaksud tiada pengecualian tol akan diberikan sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut minggu hadapan iaitu pada 29 Januari ini.

Setiap tahun, pengumuman pemberian tol percuma adalah sesuatu yang dinanti-nantikan menjelang musim perayaan (Foto Hiasan)

Terdahulu, seperti tahun-tahun sebelumnya, kerajaan telah memberikan tol percuma kepada kenderaan persendirian Kelas 1 tanpa gagal sempena musim perayaan melalui bayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol.  

Malah, pada tahun lalu sahaja (2024), kerajaan telah membayar RM41.21 juta sempena Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri (RM80.07 juta), Hari Deepavali (RM42.31 juta) dan RM38 juta pada Krismas.

Ini menjadikan, secara purata, kerajaan membayar kira-kira RM20 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya menerusi pelaksanaan tol percuma.

Maka, dengan pengumuman terkini setakat ini,  2024 mungkin menjadi tahun terakhir yang diberikan pelepasan tol percuma sempena musim perayaan. -airtimes.my

#TolPercuma #AirTimes #MusimPerayaan

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?