Tahun 2026 dijangka terpahat sebagai detik perubahan penting dalam landskap ketenteraan global, khususnya di Asia Timur, apabila Korea Aerospace Industries (KAI) memulakan penghantaran rasmi unit pertama pesawat tempur KF-21 Boramae kepada Tentera Udara Republik Korea (ROKAF).
Peristiwa ini bukan sekadar satu prosedur perolehan aset biasa. Sebaliknya, mencerminkan peralihan struktur mendalam dalam keupayaan pertahanan Korea Selatan. Selama beberapa dekad, Seoul bergantung hampir sepenuhnya kepada perolehan aset udara dari Amerika Syarikat.
Namun, penghantaran KF-21 menandakan kejayaa transformasi strategik negara itu daripada pembeli senjata asing kepada pembangun teknologi ketenteraan berkeupayaan tinggi. Pesawat ini bukan sekadar mesin tempur, tetapi manifestasi ‘kemandirian pertahanan’ yang telah lama diusahakan.
Walaupun Korea Selatan pernah membangunkan jet latihan T-50 Golden Eagle dan pesawat pejuang ringan FA-50 Fighting Eagle, negara itu masih belum memiliki pesawat tempur supersonik utama yang dibangunkan secara domestik. KF-21 mengubah realiti tersebut dengan membawa Korea Selatan ke dalam kelompok negara yang mampu mereka bentuk dan menghasilkan pesawat tempur generasi 4.5 secara berdikari.
Daripada pembeli kepada pembangun teknologi strategik

Peralihan ini bukan sekadar pertukaran aset lama kepada yang baharu, tetapi satu lonjakan generasi yang memberi implikasi besar. Foto: KAI
Dari sudut operasi, KF-21 dijangka menggantikan armada F-4 Phantom II yang bersara sepenuhnya pada 2024 serta KF-5, platform warisan era 1950-an yang dibangunkan di Amerika Syarikat. Peralihan ini bukan sekadar pertukaran aset lama kepada yang baharu, tetapi satu lonjakan generasi yang memberi implikasi besar terhadap kedaulatan teknologi dan kebebasan operasi ROKAF.
Selepas penghantaran awal, ROKAF akan melaksanakan siri ujian dalaman secara intensif bagi mengesahkan prestasi, integrasi sistem dan kebolehoperasian pesawat. Mengikut perancangan semasa, KF-21 akan dilengkapi keupayaan serangan udara-ke-darat bermula 2027, sekali gus membolehkannya berfungsi sebagai platform tempur pelbagai peranan yang lebih matang
Dari perspektif industri, penghantaran KF-21 pada 2026 menjadi ujian sebenar terhadap keupayaan ekosistem pertahanan Korea Selatan. Ia menguji ketahanan kewangan, kecekapan organisasi dan keupayaan teknikal KAI dalam mengurus program pesawat tempur berskala besar, daripada fasa reka bentuk hingga pengeluaran bersiri.
Lonjakan Industri dan Penaklukan Cabaran Teknologi
Perjalanan ke arah kejayaan ini bukan tanpa cabaran. KAI memulakan pengeluaran 20 pesawat KF-21 Batch-I pertama pada Julai 2024, selepas lebih sedekad usaha pembangunan yang kompleks. Salah satu cabaran paling kritikal melibatkan pembangunan radar Active Electronically Scanned Array (AESA), komponen teras pesawat tempur moden.
Hanwha Systems bersama Agensi Pembangunan Pertahanan (ADD) memikul tanggungjawab besar untuk membangunkan radar ASEA secara domestik selepas Amerika Syarikat enggan memindahkan teknologi tersebut atas faktor keselamatan.
Tanpa sistem radar ini, KF-21 tidak akan mampu beroperasi secara efektif dalam persekitaran peperangan moden. Kejayaan pembangunan radar ASEA bukan sahaja mengukuhkan keupayaan tempur pesawat, malah meletakkan Korea Selatan dalam kelompok kecil negara yang menguasai teknologi tersebut secara berdikari.
Pasaran Eksport: Sasaran Pasaran “Atasan”

Pesawat tempur generasi 4.5 ini menggabungkan reka bentuk stealth yang garang dengan teknologi avionik terkini. Pesaing baru di langit Asia. Foto: ROKAF
Dalam konteks pasaran global, KF-21 turut membuka lembaran baharu bagi strategi eksport pertahanan Korea Selatan. Sebelum ini, KAI telah membina reputasi kukuh melalui eksport T-50 dan FA-50 ke Iraq, Filipina, Thailand, Poland, dan Malaysia. Rekod ini meningkatkan kredibiliti KAI sebagai pembekal yang boleh dipercayai.
Banyak negara kini mencari alternatif kepada pesawat Barat yang mahal atau platform Rusia yang terjejas akibat sekatan ekonomi. KF-21 menawarkan penyelesaian yang ideal, dengan teknologi generasi 4.5 yang menghampiri keupayaan pesawat halimunan generasi kelima, tetapi pada kos yang lebih kompetitif.
Negara seperti Poland, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Filipina dan Malaysia, dilaporkan menunjukkan minat terhadap pesawat ini. Namun, realitinya KF-21 masih perlu bersaing dengan pelbagai platform lain di pasaran antarabangsa.
Pada fasa awal, pesawat in belum mencapai tahap halimunan penuh kerana penggunaan stesen senjata luaran. Walau bagaimanapun, reka bentuk modularnya membolehkan naik taraf berperingkat, satu kelebihan penting bagi negara pengguna yang memerlukan aset relevan untuk tempoh operasi jangka panjang.
Secara keseluruhan, KF-21 Boramae bukan sekadar simbol kemajuan teknologi Korea Selatan, tetapi lambang perubahan struktur dalam strategi pertahanan negara itu. Daripada sekatan pemindahan teknologi hingga kejayaan pengeluaran bersiri, Korea Selatan kini melangkah ke fasa baharu sebagai kuasa industri pertahanan yang semakin berpengaruh di peringkat global. -airtimes.my
#Airtimes #KF-21 #tenteraudara #pertahanan #KAI #ROKAF #KoreaSelatan







