Home Diskusi Pesawat F-5 Tiger II: Pesawat supersonik pertama TUDM, pelindung ruang udara era darurat kedua

Pesawat F-5 Tiger II: Pesawat supersonik pertama TUDM, pelindung ruang udara era darurat kedua

by Zulhaizi Rosdi

Pesawat F-5 Tiger II adalah jet pejuang yang dibangunkan oleh Northrop Corporation yang berpusat di Amerika Syarikat (AS).

Pesawat ini terkenal kerana reka bentuknya yang sederhana, kos operasi rendah dan keupayaan yang serba guna.

Pada tahun 1975, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pernah menggunakan khidmat F-5 Tiger II sehingga pesawat tempur ini digantikan oleh pesawat MIG-29N dan F/A-18 Hornet pada era 1990-an.

Namun, pesawat pejuang F-5 ini secara rasmi telah ditamatkan perkhidmatannya secara rasmi pada 1995 selepas berkhidmat selama lebih 20 tahun sejak mula diperoleh pada 1975.

Selepas kehadiran pesawat F-5 Tiger II di Malaysia, 12 Skuadron TUDM mula dibentuk pada april 1975, dengan ketibaan kumpulan pertama berjumlah empat pesawat F-5 di Pangkalan Udara butterworth.

Pembentukan skuadron ini dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein pada 13 Mei 1975.

Ketika itu, 12 skuadron telah mengambil alih peranan pertahanan udara daripada No 11 skuadron (Sabre).

Manakala, pada Mac 1981 pula, ia menerima empat pesawat F-5F untuk menggantikan dua pesawat latihan F-5B, yang kemudiannya dijual kepada Tentera Udara Diraja Thai pada bulan September 1982.

Walaupun 12 skuadron telah mengambil alih peranan pertahanan udara dengan berkesan, ia masih mampu melakukan pelbagai peranan serangan darat, kerana F-5E mampu membawa udara ke permukaan senjata seperti roket dan bom.

Malah, skuadron itu juga turut serta bersama skuadron 6 dalam beberapa operasi bersama ketika memerangi ancaman pemberontakan semasa darurat malaysia kedua.

Sepanjang tahun aktifnya, 12 skuadron telah mengambil bahagian secara aktif dalam semua latihan FPDA dan telah dihantar ke Indonesia, Singapura dan Thailand bagi menyertai latihan udara pada 1980 dan 1990.

Pesawat F-5 Tiger II dilengkapi dengan dua enjin General Electric J85-GE-21 yang mampu menghasilkan kelajuan supersonik hingga Mach 1.6 (sekitar 1, 700 km/j).

Manakala, dari sudut persenjataan, jet tempur ini dilengkapi dengan dua meriam 20mm, pelbagai jenis bom, roket dan peluru berpandu termasuk AIM-9 Sidewinder untuk pertempuran di udara.

Jet pejuang ini juga mampu melakukan penerbangan dengan jarak 1,400 kilometer (km) tanpa tangki tambahan dan ketinggian penerbangan boleh mencapai sehingga 15,800 meter.

Ketika era perkhidmatannya, F-5 Tiger II ini juga dilihat terus menjadi simbol kejuruteraan efisien yang sesuai untuk operasi jarak dekat, malah ianya juga menjadi antara aset penting dalam membanteras ancaman dari dalam dan luar negara.

Sebagai contoh, ketika zaman darurat Malaysia kedua, F-5 Tiger II diberi tanggungjawab untuk menjaga kedaulatan ruang udara Malaysia terutama di kawasan sempadan antara Thailand yang sering menjadi lalu bagi penyusupan gerila Parti Komunis Malaya (PKM).

Pesawat ini juga mungkin digunakan untuk misi meronda bagi menunjukkan kehadiran dan kuasa ketenteraan di kawasan tertentu selain bertindak sebagai elemen pertahanan konvensional dalam mencegah ancaman yang lebih besar termasuk serangan dari luar negara sekiranya berlaku.

Dalam masa sama, F-5 Tiger II berfungsi sebagai pesawat pejuang utama Malaysia, memberikan sokongan strategik kepada TUDM bagi melatih juruterbang dalam misi tempur yang berprofil tinggi.

Walaubagaimanapun, pesawat F-5 Tiger II telah digantikan oleh pesawat lebih moden seperti MiG-29N Fulcrum, F/A-18D Hornet, dan Hawk 208.

Sebelum ini, TUDM telah menyatakan hasrat untuk menjual pesawat F-5 Tiger II selepas ia ditamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 1995.

Usaha untuk menjual pesawat ini bermula pada awal 2000-an, apabila TUDM melancarkan pelbagai inisiatif untuk melupuskan aset lama bagi memberi ruang kepada pemodenan inventori.

Sejak itu, TUDM mula mencari pembeli untuk baki pesawat F-5E/F dan RF-5E yang tidak lagi digunakan.

Pesawat pejuang tersebut dilihat sudah tidak relevan dalam konteks operasi moden selain digantikan oleh pesawat seperti MiG-29N Fulcrum dan F/A-18D Hornet.

Malah, kos penyelenggaran yang semakin tinggi dan penumpuan ke arah permodenan aset juga menjadi antara faktor kepada hasrat penjualan pesawat F-5.

Tidak banyak maklumat tentang kejayaan penjualan, tetapi beberapa unit mungkin telah dijual atau disumbangkan kepada pihak tertentu untuk tujuan latihan dan pameran.

Sehingga kini, baki F-5 yang tidak dijual sama ada telah dilucutkan persenjataan, disimpan sebagai stok statik atau dijadikan bahan pameran di muzium seperti Muzium TUDM di Subang.

Walaupun begitu, pesawat F-5 Tiger II dalam 12 Skuadron akan terus dikenang sebagai salah satu pesawat pejuang pertama TUDM yang memberikan Malaysia kemampuan pertahanan udara yang lebih moden ketika zaman kegemilangannya.

#F-5TigerII #pesawat #jetpejuang #TUDM #Malaysia #Airtimes

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?