KOTA KINABALU, 27 OGOS – Malaysian Community Care Foundation (MCCF) Sabah menzahirkan rasa dukacita serta simpati terhadap insiden tragis melibatkan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang telah mencetuskan kebimbangan rakyat Malaysia dan turut menjadi perhatian media antarabangsa.
Pengerusinya, Datuk Awang Jaafar berkata, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan yang telus, berintegriti dan menyeluruh agar keadilan ditegakkan tanpa sebarang kompromi.
“Institusi pendidikan, keselamatan dan kehakiman harus mengambil langkah konkrit bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keselamatan anak-anak di sekolah,
“Kami turut menegaskan agar perlunya hukuman yang setimpal dan tegas sebagai pengajaran kepada pelaku serta pencegahan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam masa yang sama, MCCF Sabah menyeru agar ibu bapa mengambil penglibatan yang lebih serius dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pendidikan serta keselamatan anak-anak kepada pihak sekolah.
“MCCF Sabah percaya tragedi arwah Zara ini harus menjadi titik tolak kepada pembaharuan menyeluruh dalam menangani isu buli di negara kita. Nyawa dan masa depan anak-anak tidak wajar lagi dipertaruhkan,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina yang juga pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Sabah, ditemui tidak sedarkan diri berdekatan longkang asrama sekolah sekitar jam 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.
Kematian Allahyarham mencetuskan perhatian umum apabila ia pada peringkat awal diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR). -airtimes.my
#AirTimes #MCCF #Buli #Pendidikan #ZaraQairina #AntiBuli
