KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung pelaksanaan semula proses bedah siasat ke atas Allahyarham Syamsul Haris.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akan memastikan keadilan kepada Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia itu dapat ditegakkan.
“ATM akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak berwajib sepanjang siasatan dijalankan bagi memastikan keadilan kepada Allahyarham dapat ditegakkan,
“MINDEF akan terus memantau perkembangan kes ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyempurnakan siasatan mengikut prinsip undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan kubur Allahyarham di Skudai, Johor digali semula untuk bedah siasat kedua selepas membenarkan permohonan ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Mahkamah turut menetapkan bedah siasat itu dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.
Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor pada akhir bulan lalu.
Susulan itu, MINDEF telah menubuhkan jawatankuasa siasatan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mengenal pasti punca kematian.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Ummu Haiman membuat laporan polis selepas mendapati jenazah anaknya mempunyai kesan lebam yang mencurigakan. Beliau mendakwa punca kematian semasa latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, PULADA, tidak jelas dan menimbulkan keraguan.
Mohamed Khaled dalam pada itu mengesahkan, berdasarkan siasatan awal, tiada sebarang perlakuan atau aktiviti berbentuk penderaan berlaku sepanjang tempoh latihan.-airtimes.my
#pertahanan #kadet #PALAPES #kematian #latihan #Malaysia
Berita penuh:
