Home Pertahanan dan Keselamatan Tiada unsur penderaan dalam kes kematian Kadet PALAPES – Khaled Nordin

Tiada unsur penderaan dalam kes kematian Kadet PALAPES – Khaled Nordin

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam kes kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Johor, baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siasatan awal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan keterangan 30 orang saksi, termasuk pegawai PALAPES, jurulatih serta pegawai kadet, mendapati tiada sebarang perlakuan atau aktiviti berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.

“Insiden ini berlaku ketika latihan di PULADA yang dijalankan dari 27 Julai hingga 2 Ogos.  Allahyarham baru sehari memasuki kem latihan sebelum meninggal dunia pada 28 Ogos,

“Keterangan semua saksi mengesahkan tiada kejadian penderaan berlaku. Jurulatih yang mengendalikan latihan juga mematuhi sepenuhnya arahan, garis panduan dan prosedur yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tahun 2025, di Wisma Perwira, hari ini.

Pada Selasa, ibu kepada mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menuntut siasatan telus dan segera dijalankan bagi merungkai punca sebenar kematian pelatih kadet Palapes itu yang disifatkan meragukan.

Ummu Haiman berkata, anaknya meninggal dunia ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, PULADA dengan sebab kematian yang belum jelas serta meragukan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, laporan perubatan dari Hospital Kota Tinggi yang menjalankan bedah siasat turut mengesahkan tiada kesan kecederaan pada jasad Allahyarham dan laporan itu turut disokong dapatan siasatan pihak polis.

“Petugas perubatan tentera yang hadir semasa kejadian mengesahkan semua bantuan awal diberikan mengikut prosedur operasi standard (SOP),” tegasnya lagi.

Beliau menjelaskan, hasil siasatan ATM selari dengan laporan awal polis dan punca kematian hanya akan diketahui selepas laporan penuh bedah siasat hospital diperoleh, yang dijangka mengambil masa antara satu hingga dua bulan.

“Masyarakat tidak seharusnya mengaitkan kes ini dengan insiden-insiden sebelum ini. Sekiranya wujud unsur penderaan atau jenayah, ATM akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” tegasnya.

Mengulas mengenai hasrat keluarga untuk melakukan bedah siasat semula, Mohamed Khaled berkata perkara itu tertakluk kepada pihak hospital dan polis, dan tidak melibatkan ATM secara langsung.-airtimes.my

#dera #PULADA #Palapes #airtimes #ATM #pertahanan

Leave a Reply