KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Malaysia dan Brunei mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai mekanisme keselamatan serta pertahanan di rantau ini bagi menghadapi cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional.
Komitmen itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menerusi satu kenyataan bersama sempena Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei ke-26 (ALC) di Kompleks Seri Perdana, pada Rabu.
Komitmen itu termasuk kerjasama melalui platform seperti Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC), Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus.
“Kedua-dua pemimpin berpuas hati dengan kerjasama pertahanan erat yang terus diperkukuh melalui pertukaran lawatan, kursus latihan serta latihan ketenteraan bersama,” jelas kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (RBAF) dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan antarabangsa menerusi penyertaan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Anwar dan Sultan Hassanal turut merakamkan penghargaan atas penyertaan berterusan pegawai kanan pertahanan dalam platform utama, termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) pada 20 hingga 24 Mei depan, selain program berkaitan pertahanan yang lain.
“Kedua-dua pemimpin mengalu-alukan perbincangan mengenai penubuhan Kumpulan Kerja Pengurusan Bencana (DMWG) di bawah Memorandum Persefahaman Kerjasama Pengurusan Bencana sebagai langkah penting memperkukuh dan menyeragamkan kerjasama dua hala,” jelas kenyataan itu lagi.
Selain itu, Brunei menghargai sokongan Malaysia menerusi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang melaksanakan misi penilaian di Bandar Seri Begawan pada 9 hingga 13 Jun lalu.
Hasil misi itu diakui kedua-dua pemimpin sebagai input penting bagi membantu Brunei membuat persiapan mendapatkan Pensijilan Luar Kumpulan Penasihat Cari dan Menyelamat Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (INSARAG-IEC).
Dalam perkembangan lain, kedua-dua negara turut mengiktiraf penubuhan Jawatankuasa Bersama di bawah MoU Kerjasama Bidang Kehakiman Syariah, termasuk perkongsian alasan penghakiman mahkamah syariah, pertukaran penerbitan, laporan akademik serta kajian bersama dalam bidang fiqh dan undang-undang Syariah.
Terdahulu, Sultan Hassanal Bolkiah disambut dalam istiadat sambutan rasmi di Kompleks Seri Perdana sebelum kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kesihatan.-airtimes.my
#airtimes #Malaysia #Brunei #Anwar #semasa
