Home Teknologi Pertahanan Pedang Sundang daripada tulang Mawas bukan mitos

Pedang Sundang daripada tulang Mawas bukan mitos

by Suraya Aziz

Di sebalik keagungan dan keunikan rupa parasnya, pedang Sundang menonjol sebagai satu-satunya senjata bangsa Melayu yang memiliki identiti tersendiri tanpa sebarang pengaruh luar. 

Pembuatan pedang Sundang bukan sahaja menggunakan pelbagai besi berkualiti namun sebahagiannya turut melibatkan bahan langka seperti tulang Mawas yang sering dikaitkan dalam cerita rakyat sebagai makhluk mistik, bertulang keras dan beracun.

Menurut seorang pengkaji seni pertahanan Melayu dan pemilik koleksi pedang Sundang, Muhamad Abdullah Al Amin atau dikenali sebagai Ustaz Amin, kewujudan tulang mawas bukan lagi satu mitos semata-mata namun satu realiti yang diakui dengan kajian serta data saintifik.

Ujarnya, kewujudan mawas ini bukan sahaja dibukukan oleh pengkaji Barat malah turut tercatat di dalam manuskrip yang diterbitkan dari Narathiwat, Thailand. 

Tulang mawas antara bahan unik yang paling sukar untuk didapatkan namun berjaya ditemui di dalam beberapa bilah pedang Sundang milik pahlawan Melayu lama. (Foto: Sharul)

“Sebelum ni, cara orang melayu kita dapat tahu pasal tulang mawas ni daripada naratif iaitu cerita-cerita. Rupanya ada kaedah kandungan analisis, iaitu kaedah perpustakaan yang telah dibukukan oleh pengkaji-pengkaji dari Barat. 

“Pengkaji dari Barat ni memang tertarik dengan apa yang ada di Nusantara, jadi mereka ada tulis berkaitan tulang besi mawas dan ada manuskrip dari Narathiwat tentang kewujudan mawas dan bagaimana orang melayu buat sebagai satu senjata,” jelas Ustaz Amin.

Katanya, keputusan ujian makmal mendapati tulang Mawas mempunyai kandungan kalsium bercampur dengan ferum (logam) iaitu gabungan yang jarang ditemui di alam semula jadi, sekali gus menjadikan ianya ideal untuk digunakan dalam pembuatan senjata Melayu.

“Saya pernah jumpa kurang daripada 10 bilah pedang Sundang yang mengandungi tulang Mawas asli,” tambah Ustaz Amin yang juga diiktiraf oleh Malaysia Book Of Record sebagai individu pengumpul koleksi senjata sundang terbanyak.

Antara koleksi pedang Sundang milik Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin yang dipamerkan untuk tatapan di Muzium Taiping. (Foto: Sharul)

Mengulas lanjut, beliau berkata, inspirasinya untuk mendalami kajian mengenai pedang Sundang mula tercetus apabila keris Tajong yang merupakan salah satu warisan budaya Melayu, dituntut sebagai warisan oleh kerajaan Thailand.

“Situasi ini masih dapat diterima jika pengiktirafan tersebut diberikan kepada masyarakat Melayu di Selatan Thailand, seperti di Pattani, namun tidak bagi Thailand secara keseluruhan yang majoritinya berbangsa Siam, bukan Melayu,” luahnya.

Jelasnya, situasi sama berlarutan sehingga Filipina turut dalam usaha mendapatkan hak mewartakan pedang Sundang, satu-satunya pedang yang mempunyai identiti asli bangsa Melayu dari Kepulauan Melayu sebagai sebahagian daripada warisan negaranya.

Ustaz Amin atau nama sebenarnya Muhamad Abdullah Al Amin, berjaya meraih pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record sebagai individu yang memiliki pedang Sundang terbanyak. (Foto: Sharul)

Dalam pada itu, pengasas Yayasan Al-Amin turut menegaskan, meskipun terdapat unsur mistik dan saka yang sering dikaitkan dengan senjata lama milik pahlawan Melayu, jumlah senjata yang memiliki sifat tersebut adalah kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan koleksinya.

“Pengalaman saya mengendalikan beribu bilah, pedang, keris sundang dan sebagainya, boleh saya kata kurang satu peratus. Kalau 1000 bilah, memang kejadian kurang satu peratus. Baki tu memang tak ada apa.

Tambahnya, sekiranya ada cerita rakyat yang mengatakan senjata lama mempunyai “penunggu” atau “hantu,” perkara tersebut biasanya lenyap setelah pemilik asal meninggal dunia. Jika pun terdapat unsur mistik, ia boleh ditangani tanpa merosakkan nilai khazanah tersebut.

Ustaz Amin menerangkan kepada peserta seminar cara mengenalpasti jenis Sundang dengan meneliti perincian dan seni yang terdapat di setiap bilah pedang.

Setakat ini, Ustaz Amin mempunyai lebih daripada 212 pedang Sundang dengan kebanyakan koleksi miliknya diperoleh melalui pembelian dan wakaf daripada waris yang tidak lagi berkemampuan untuk menjaga senjata tersebut.

“Siapa-siapa yang jumpa sundang kalau ada cerita-cerita hantu jangan buang lah. Benda tu memang rare (jarang dijumpai), sangat susah nak cari. Saya banyak jumpa yang karat-karat. Karat karat pun tak apa, bagus kita simpan,” katanya kepada Air Times.

Beliau berkata demikian, selepas menghadiri Seminar Sundang anjuran Muzium Taiping bertujuan memartabatkan seni budaya dan warisan sejarah tinggalan pahlawan Melayu di negara ini, pada Ahad.

Terdahulu, koleksi Pedang Sundang yang pernah digunakan pahlawan Melayu antara tarikan yang dipamerkan untuk tatapan umum dalam Pameran Sundang: Seni dan Kuasa di Muzium Perak yang berlangsung selama enam bulan bermula 24 Jun hingga 31 Disember depan.

Secara keseluruhan, pameran tersebut melibatkan pelbagai jenis sundang yang wujud bermula penghujung abad ke-15 di kepulauan Melayu meliputi Sumatra, Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Tanah Melayu termasuk Champa dan selatan Filipina.-airtimes.

#SenjataMelayu #PedangSundang #WarisanBangsa #Airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!