Home SemasaIkut prinsip demokrasi, pemimpin kalah perlu berundur – Rafizi

Ikut prinsip demokrasi, pemimpin kalah perlu berundur – Rafizi

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 28 Mei 2025 – “Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan.”

Demikian antara kata-kata Datuk Seri Rafizi Ramli ketika mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Ekonomi, susulan kekalahannya dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.

Peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa mulai 17 Jun 2025 selepas beliau menamatkan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun.

Mengulas lanjut, Rafizi, yang menyertai semula pentas politik pasca PRU-15 sebagai arkitek utama reformasi ekonomi negara berkata, kekalahannya dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat politik untuk meneruskan pelaksanaan agenda parti di peringkat kerajaan.

Dalam pemilihan yang berlangsung pada 23 Mei lalu, Nurul Izzah berjaya meraih 9,803 undi berbanding 3,866 undi yang diterima oleh Rafizi.

“Saya menyertai PKR kerana idealisme ini dan manfaatnya kepada rakyat. Saya tidak menyertai PKR demi jawatan atau kedudukan Menteri, apatah lagi untuk membina kekayaan. Pemimpin datang dan pergi, tetapi idealisme tetap kekal,

“Saya kekal dalam PKR selama 27 tahun, lebih lama daripada ramai perintis dan tokoh parti yang lebih kanan, kerana saya percaya PKR baru berlari anak. Walaupun kita telah menyumbang dalam memberi pencerahan dan mematangkan masyarakat Malaysia, kita masih jauh daripada mencapai matlamat yang dijanjikan idealisme itu.

“Saya amat berbangga dengan ahli biasa PKR dan penyokong yang tetap teguh mempertahankan idealisme ini sepanjang kempen, walaupun segala-galanya telah disusun untuk tidak memihak kepada saya. Cita-cita reformasi sebenarnya masih ada harapan,” katanya menerusi kenyataan bertulis di media sosial.

Mengulas lanjut, beliau turut menyenaraikan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai antara amanah terakhirnya selaku Menteri Ekonomi, yang kini telah dimuktamadkan dan sedia untuk dibentangkan di Parlimen.

“Amanah terakhir saya sebagai Menteri Ekonomi telah disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen dalam sidang yang seterusnya,

“Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada di dalam Jemaah Menteri,” katanya pada Rabu.

Sementara itu, Rafizi turut mengingatkan, usaha memperkukuh struktur ekonomi negara masih jauh, dan keputusan-keputusan penting untuk masa hadapan harus terus dibuat meskipun sukar.

Setakat ini, tiada pengumuman rasmi berkenaan pengganti beliau. Namun, peletakan jawatan beliau membuka ruang kepada kepimpinan baharu dalam PKR dan Kabinet untuk menentukan hala tuju kesinambungan agenda reformasi ekonomi negara selepas peralihan kuasa portfolio tersebut. -airtimes.my
#Rafizi #Airtimes #letakjawatan #Semasa

Related Articles

Leave a Reply