KUALA LUMPUR, 28 Mei – Seramai 25,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berjaya membina kerjaya kedua selepas menamatkan Latihan Peralihan yang ditawarkan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), demi masa depan lebih baik.
Latihan tersebut membuka peluang kepada bekas tentera untuk melibatkan diri dalam pelbagai bidang, dengan sebahagian besar daripada mereka memilih keusahawanan sebagai laluan utama selepas bersara.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, 70 peratus daripada mereka terlibat dalam bidang keusahawanan manakala bakinya pelbagai bidang lain.
“Kita (ATM) fikir bidang keusahawanan bukanlah satu bidang yang mudah dan ada cabarannya tetapi mereka (veteran) ada modal kerana selepas menamatkan perkhidmatan mendapat sedikit ganjaran kewangan daripada kerajaan,
“Sebab itu kita bagi mereka pilihan dan ini adalah pilihan yang sebahagian kita berikan iaitu terlibat pekerjaan dalam industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E), setiap tahun kita ada lebih 5,000 tentera yang bersara dan kita bantu carikan pekerjaan kedua,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi libat urus peserta Program Veteran MyWira di Micron Memory Malaysia pada Selasa.
Ia turut dihadiri Naib Presiden Micron Memory Malaysia, Ramu Iyer dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew.
Program Veteran MyWIRA yang dilancarkan awal tahun ini merupakan hasil kerjasama antara TalentCorp iaitu agensi strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia dan PERHEBAT, bertujuan untuk membantu golongan veteran mendapatkan peluang pekerjaan kedua yang lebih stabil dan berkualiti.
Adly turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan veteran ATM terjamin melalui sokongan terhadap program-program seperti MyWIRA.
“Cabaran kepada veteran ATM cukup besar kerana kebanyakannya masih muda iaitu pada usia 40 tahun mereka hilang pekerjaan, kalau berpencen pun mereka hilang separuh daripada pendapatan mereka sedangkan dari segi sosial, mereka mempunyai tanggungan anak-anak dan keluarga selain tanggungan perumahan dan aspek kesihatan,” ujarnya lagi.
Dalam usaha lebih menyeluruh, Kementerian Pertahanan juga menjalinkan kerjasama dengan kementerian lain bagi membuka peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan berdasarkan kepakaran tertentu bekas anggota tentera, meskipun jumlahnya agak terhad setakat ini.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #veteranATM #Perhebat #Malaysia