KUALA LUMPUR, 15 DIS – Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin secara rasminya memulakan tugas sebagai Menteri Pertahanan pada hari ini.
Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya berkata, ketibaan Menteri Pertahanan telah disambut oleh Ketua Setiausaha, Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Pegawai Kanan Kementerian serta Panglima-Panglima Perkhidmatan.
Khaled kemudiannya menerima tabik hormat Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di perkarangan Wisma Pertahanan.
Beliau kemudiannya mengetik kad e-rakam disusuli sesi menandatangani dokumen mula tugas sebagai simbolik dalam menerajui Kementerian Pertahanan.
Khaled Nordin sebelum ini memegang portfolio sebagai Menteri Pendidikan Tinggi sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan kabinet pada 12 Disember lalu.
Beliau menggantikan Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan yang kini menerajui Kementerian Luar Negeri.
Khaled sebelum ini pernah memegang Menteri di peringkat Persekutuan. Antaranya Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (2004-2008); serta 2 kali sebagai Menteri Pendidikan Tinggi (2008-2013, 2022-2023).
Beliau pernah menerajui Johor sebagai Menteri Besar ke-15 pada tahun 2013 hingga 2018 dan pernah menerajui Johor Corporation Berhad (‘JCorp’) .
Selain daripada itu, Khalid pernah menjadi Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Boustead Holdings pada tahun 2020 sebelum melepaskan jawatan dari syarikat tersebut pada 5 Ogos 2021. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan