Home Pertahanan dan Keselamatan Banjir Johor: 1,500 anggota tentera tabur bakti Op Murni

Banjir Johor: 1,500 anggota tentera tabur bakti Op Murni

by M.Daim

JOHOR BAHRU, 5 Mac – Kementerian Pertahanan Malaysia menyatakan seramai 1,500 anggota tentera terlibat dalam Op Murni di Johor semenjak ia dilancarkan pada 1 Mac lalu.

“Mereka mula diatur gerak ke daerah-daerah berkenaan bagi membantu petugas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan setiap agensi berkaitan menerusi Op Murni,

“Warga dan aset-aset ATM telah diaturgerak sejak 1 Mac 2023 lalu di bawah formasi Appointed Military Commanders (AMC) Markas Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged),” kata Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kumpulan anggota tentera yang terlibat dalam operasi ini telah diletakkan dalam keadaan siap siaga selepas Kluang, Johor Bahru, Segamat, Kota Tinggi, Kulai, Pontian, dan Tangkak mula dilanda banjir.

Jelas Kementerian Pertahanan Malaysia, operasi ini turut melibatkan pemindahan mangsa banjir ke kawasan selamat termasuk Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Mereka turut mengagihkan makanan dan barang keperluan ke PPS serta kawasan yang terputus hubungan jalan darat,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, NADMA melalui portal info banjir menyatakan bencana alam yang berlaku di Johor adalah melibatkan 44,860 mangsa di 10 daerah.

Sehingga pukul 4 pagi, jumlah PPS dibuka adalah sebanyak 260. Trend peningkatan mangsa banjir turut dilaporkan di Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Kulai, Mersing dan Tangkak. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?