Home Semasa Banjir Johor: 1,591 mangsa dipindahkan di 21 PPS

Banjir Johor: 1,591 mangsa dipindahkan di 21 PPS

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 1 Mac – Hujan yang berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di seluruh negeri Johor ditenggelami banjir.

Setakat pukul 8 pagi ini, seramai 1,591 mangsa banjir daripada 560 keluarga dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak semalam.

Angka itu menunjukkan pertambahan berbanding 1,297 mangsa yang terdiri daripada 351 keluarga, pada 4 pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Negeri (JBPN) Johor dalam satu kenyataan memaklumkan, 4 daerah terjejas membabitkan Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

6 PPS masing-masing di Segamat, Kluang dan Johor Bahru selain 3 PPS di Kota Tinggi, dibuka secara berperingkat mulai 10.30 malam tadi sehingga 3.20 pagi tadi.

“Segamat merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi, melibatkan 746 penduduk daripada 209 keluarga, yang ditempatkan di 6 PPS,

“Ia disusuli daerah Johor Bahru yang merekodkan seramai 560 mangsa daripada 131 keluarga, dengan 6 PPS beroperasi,

“Kluang pula merekodkan sejumlah 162 mangsa terlibat, yang terdiri daripada 188 buah keluarga di 6 PPS,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Sementara itu, Kota Tinggi, seramai 123 mangsa daripada 32 keluarga berjaya dipindahkan ke 3 PPS.

Menurut JBPN, banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini susulan hujan berterusan sejak semalam, sekali gus mengakibatkan peningkatan paras air berlaku di kawasan terlibat.

Setakat pagi ini, terdapat 2 laluan ditutup untuk kegunaan semua kenderaan, ia membabitkan Jalan Kluang – Mersing (Ladang Greenway) di Kluang dan Jalan Bekok di Segamat. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply